IPOH – Dua remaja berusia 13 dan 17 tahun yang kehilangan ibu dalam kejadian pembunuhan di Kampung Cheh Hilir, Kati, Kuala Kangsar, pada 23 September lalu, masih ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas tiada ahli keluarga yang tampil menuntut mereka.
Kedua-dua remaja itu juga merupakan orang kurang upaya (OKU), manakala ibu mereka, 49, ditemukan meninggal dunia dengan kesan tusukan di betis dalam kejadian berkenaan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, setakat ini belum ada ahli keluarga yang dikenal pasti layak mengambil tanggungjawab menjaga kedua-dua remaja terbabit.
Menurutnya, penempatan di institusi JKM dibuat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terpelihara, dengan perlindungan mahkamah boleh diperoleh bagi membolehkan penjagaan itu dilaksanakan.
“Biasanya bagi kes seperti ini, kita akan mendapatkan perlindungan mahkamah untuk mereka ditempatkan di institusi JKM demi memastikan keselamatan mereka. Namun, tiada ahli keluarga yang mahu mengambil mereka setakat ini.
“Sekiranya ada ahli keluarga yang tampil untuk menjaga mereka, kita akan membuat penilaian terlebih dahulu bagi menentukan sama ada individu berkenaan layak atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM Negeri Perak 2026 di Hotel Casuarina, di sini, petang semalam. Turut hadir Pengarah JKM Perak, Ismail Arul Raj Amirudin.
Salbiah menjelaskan, kedua-dua remaja itu boleh diserahkan kepada ahli keluarga yang memenuhi syarat selepas melalui proses penilaian dan tapisan, tanpa perlu menunggu sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam kejadian pada 23 September lalu, ibu mereka yang merupakan wanita OKU kategori kelewatan intelektual ditemukan meninggal dunia dengan kesan tusukan di betis. Punca kematian kemudian disahkan akibat pendarahan berlebihan.
Susulan kejadian itu, anak lelaki mangsa berusia 15 tahun yang juga OKU autisme dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada 30 September lalu atas tuduhan membunuh ibunya tanpa niat.
Mahkamah kemudian memerintahkan remaja berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.
Sementara itu, suami mangsa yang berusia 44 tahun dan juga bapa kepada remaja terbabit turut direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, beliau kemudian dibebaskan dan dijangka dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
