JOHOR BAHRU – Polis masih menunggu arahan lanjut Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor berhubung kertas siasatan kes pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang kini dalam penelitian pihak pendakwaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada pejabat berkenaan Jumaat lalu, namun pihaknya masih belum menerima sebarang arahan atau keputusan terkini.
Beliau berkata, penelitian lanjut diperlukan memandangkan kes itu membabitkan suspek berusia 16 tahun, sekali gus memerlukan pertimbangan sewajarnya sebelum tindakan seterusnya diputuskan.
“Setakat ini, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, namun kita belum menerima apa-apa arahan terkini.
“Pihak pendakwaan masih mengkaji kes itu kerana suspek ialah pesalah juvana dan perkara ini perlu diberikan pertimbangan lebih teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor bagi Oktober 2026, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Ab Rahaman berkata, polis berharap pihak pendakwaan dapat memberikan arahan atau keputusan sebelum tempoh reman suspek berakhir bagi membolehkan tindakan selanjutnya ditentukan.
Menurutnya, suspek lelaki berusia 16 tahun itu masih berada dalam tahanan reman sementara polis menunggu keputusan pihak pendakwaan, termasuk berhubung tindakan yang perlu diambil selepas siasatan diteliti.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Kita masih menunggu arahan dan buat masa sekarang, tahanan reman ke atas suspek masih berjalan.
“Kita amat berharap sebelum tamat tempoh reman, kita akan mendapat arahan atau keputusan daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor. Kita menunggu keputusan,” katanya.
Beliau diminta mengulas perkembangan terkini kes berkenaan, termasuk kemungkinan suspek didakwa di mahkamah Khamis ini selepas tempoh reman semasa tamat.
Suspek sebelum ini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum tempoh tahanan itu disambung enam hari lagi sehingga Khamis depan.
Bagaimanapun, keputusan mengenai tindakan pendakwaan terhadap suspek masih belum dimuktamadkan dan bergantung pada arahan lanjut pihak pendakwaan selepas meneliti kertas siasatan berkenaan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
