KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan sebuah badan khas bagi memantau pelaksanaan perbelanjaan pembangunan setiap kementerian bagi memastikan peruntukan diluluskan benar-benar dimanfaatkan, sekali gus mengelakkan masalah lebihan perbelanjaan dan kegagalan membelanjakan wang yang disediakan.
Datuk Puad Zarkashi berkata, kelemahan dalam pengurusan peruntukan kerajaan perlu diberikan perhatian serius menjelang pembentangan Bajet 2027, khususnya apabila terdapat kementerian berdepan dakwaan berbelanja melebihi peruntukan, sedangkan kementerian lain gagal menggunakan sepenuhnya wang yang telah diluluskan.
Menurut beliau, mekanisme pemantauan yang lebih berkesan amat diperlukan supaya setiap kementerian dapat menguruskan peruntukan secara terancang, telus dan berdisiplin, selain memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual serta bayaran kepada kontraktor diselesaikan tanpa kelewatan yang tidak munasabah.
Beliau memberikan contoh dakwaan lebihan perbelanjaan sebanyak RM2.1 bilion membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), selain mendakwa terdapat kontraktor yang belum menerima bayaran walaupun kerja dilaksanakan sudah siap.
“Kerajaan perlu menubuhkan satu badan khas untuk memantau perbelanjaan pembangunan setiap kementerian supaya tidak berulang kes kementerian berbelanja lebih.
“Sebelum ini KKDW didakwa berbelanja lebih sebanyak RM2.1 bilion. Ramai kontraktor tidak mendapat bayaran walaupun kerja sudah siap,” katanya dalam kenyataan berhubung cadangan penambahbaikan pengurusan kewangan kerajaan menerusi Bajet 2027.
Puad berpandangan, badan khas itu bukan sahaja perlu mengawasi kementerian yang berbelanja melebihi peruntukan, malah turut bertanggungjawab meneliti kementerian gagal membelanjakan wang diluluskan sehingga terdapat baki peruntukan dipulangkan kepada Perbendaharaan pada penghujung tahun kewangan.
Katanya, kedua-dua keadaan berkenaan mencerminkan cabaran berbeza dalam pengurusan kewangan kerajaan yang memerlukan penelitian menyeluruh.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Perbelanjaan berlebihan boleh menimbulkan masalah kawalan kewangan dan komitmen pembayaran, manakala kegagalan menggunakan peruntukan pula berisiko menyebabkan projek pembangunan tertangguh atau keperluan rakyat tidak dapat dipenuhi mengikut perancangan,” katanya.
Puad turut berkongsi pengalaman ketika berkhidmat di Kementerian Pendidikan, apabila beliau pernah menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet dan dimaklumkan mengenai sejumlah besar wang tidak dibelanjakan oleh kementerian itu sebelum dipulangkan kepada Perbendaharaan.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu mengejutkan, terutama apabila dibandingkan dengan keadaan sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang pernah dilawatinya.
Menurut Puad, ketika melakukan lawatan ke sekolah di pedalaman kedua-dua negeri itu, beliau sering dimaklumkan mengenai kekurangan peruntukan untuk menaik taraf sekolah daif yang memerlukan perhatian segera.
Keadaan itu menimbulkan persoalan apabila pada satu pihak, sekolah-sekolah berdepan kekangan kewangan untuk melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kemudahan, tetapi pada pihak lain, ada peruntukan kementerian tidak dibelanjakan sehingga terpaksa dipulangkan kepada Perbendaharaan.
“Dulu saya sering melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak. Tetapi dukacita kerana sering dimaklumkan bajet tidak mencukupi untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif.
“Tiba-tiba ada pula duit dipulangkan kerana tidak dibelanjakan,” katanya.
Puad mempersoalkan punca sebenar masalah berkenaan, termasuk kemungkinan wujudnya birokrasi berlebihan, sistem maklumat tidak tepat, sikap tidak peka terhadap keperluan semasa atau kelemahan pegawai dalam melaksanakan tanggungjawab.
Beliau juga membangkitkan kemungkinan kewujudan individu digelarnya sebagai “Little Napoleon” dalam kementerian, iaitu pihak didakwa terlalu berkuasa dalam lingkungan tugas masing-masing sehingga berpotensi menyukarkan atau melambatkan proses pentadbiran.
“Apakah sebenarnya yang berlaku? Birokrasi? Sistem maklumat tidak tepat? Little Napoleon dalam kementerian? Tidak peka? Malas?
“Ini antara isu yang perlu ditangani dalam Bajet 2027,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
