Anwar bentang Belanjawan 2027, pacu agenda MADANI

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, dengan memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban rakyat, meningkatkan pendapatan pekerja dan memperkukuh pembangunan negara.

Belanjawan MADANI kelima sejak pembentukan kerajaan pada 2022 itu merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menjadi kerangka pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Anwar yang juga Perdana Menteri tiba di lobi Dewan Rakyat pada jam 3.25 petang, diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau memasuki dewan persidangan tiga minit kemudian dengan membawa beg hitam berisi teks ucapan belanjawan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Ketika memulakan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi bacaan kali kedua, Anwar menyatakan hasrat kerajaan meneruskan agenda pembaharuan dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil oleh rakyat.

Antara pengumuman utama ialah kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selepas kali terakhir disemak pada 2010.

Kadar cukai pendapatan individu pemastautin turut dikurangkan satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai tertentu, sekali gus memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

Bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000, kadar cukai diturunkan kepada 18 peratus, manakala bagi banjaran RM100,000 hingga RM150,000, kadarnya dikurangkan kepada 24 peratus. Sebaliknya, kadar cukai bagi individu berpendapatan melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Skop pelepasan cukai turut diperluas meliputi penjagaan selepas bersalin, perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, semua bidang pengajian serta tuisyen anak.

Pembelian kasut sukan, langganan kecerdasan buatan (AI), pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar turut dimasukkan dalam kategori pelepasan berkaitan.

Dalam usaha memperkukuh bantuan sosial, kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun ini.

Seramai sembilan juta penerima STR akan menikmati bayaran SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

Selain itu, sehingga 13 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, termasuk golongan M40 yang bukan penerima STR, akan menerima kredit SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan kemerdekaan.

Kredit SARA juga boleh digunakan untuk membeli barangan basah dan segar di 216 Pasar Tani dan Tamu FAMA.

Kerajaan turut menyasarkan peningkatan kedai runcit kecil serta koperasi rakan niaga SARA daripada 6,800 kepada 10,000 premis, selain memperuntukkan RM750 juta bagi program Jualan RAHMAH dan Agro MADANI yang melibatkan 35,000 penganjuran jualan murah barangan asas.

Bagi meningkatkan pendapatan pekerja, kerajaan bersetuju menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada penyesuaian perniagaan.

Kerajaan turut memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja baharu dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula menaikkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan, yang dijangka memanfaatkan 230,000 pekerja.

Dalam sektor kesihatan, Anwar mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027.

Sejak 2023, kerajaan telah melantik lebih 15,000 doktor kontrak secara tetap, termasuk 4,000 pada tahun ini. Selepas ini, doktor yang menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.

Peruntukan Kementerian Kesihatan turut meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini. Kerajaan juga menaikkan Bayaran Insentif Pos Basik bagi 47,000 anggota paramedik dan jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

Bagi mengurangkan kesesakan fasiliti kesihatan awam, sebanyak RM200 juta disediakan untuk menyumber luar rawatan pesakit ke hospital swasta, termasuk penggunaan dewan bedah.

Skim pelantikan pakar pesara secara lebih anjal turut diperluas, manakala kadar Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara dinaikkan bagi menghargai pengorbanan petugas kesihatan.

Anwar sebelum ini menegaskan Belanjawan 2027 akan terus memberi keutamaan kepada usaha melindungi golongan yang memerlukan, membuka lebih banyak peluang ekonomi dan memastikan pertumbuhan negara membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Pembentangan belanjawan itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan, termasuk BERNAMA TV, serta platform media sosial dan YouTube Parlimen.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 akan dibahaskan pada peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin depan.

Sesi penggulungan kementerian dijadualkan pada 26 hingga 29 Oktober, diikuti perbahasan peringkat jawatankuasa dari 2 hingga 26 November sebelum rang undang-undang itu dipertimbangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *