KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mempersoalkan dakwaan berkaitan perbezaan RM2.1 bilion dalam peruntukan dan perbelanjaan projek Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sambil meminta proses kelulusan serta penyaluran peruntukan diperjelaskan.
Menurut beliau, angka RM2.1 bilion dipersoalkan itu perlu dilihat dalam konteks peruntukan tambahan yang didakwa telah diselaraskan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada KKDW.
Katanya, KKDW dalam perkara itu berperanan sebagai kementerian penyelaras bagi melaksanakan peruntukan yang telah diluluskan, justeru persoalan utama bukan sekadar membandingkan angka peruntukan dengan jumlah perbelanjaan.
“Persoalan sebenar perlu dijawab ialah projek telah mendapat kelulusan MOF, Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan, tetapi mengapa peruntukan yang telah diluluskan itu tidak disalurkan kepada KKDW untuk membolehkan bayaran dibuat kepada kontraktor?” katanya.
Isu berkenaan tercetus susulan dakwaan terdapat perbezaan antara peruntukan dan perbelanjaan KKDW bagi projek jalan luar bandar.
Berdasarkan penjelasan Kementerian Kewangan sebelum ini, perbelanjaan sebenar KKDW bagi projek berkenaan mencecah RM1.8 bilion pada 2023 berbanding RM1.1 bilion peruntukan, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Bagi 2026 pula, MOF memaklumkan peruntukan diluluskan berjumlah RM2.1 bilion, manakala perbelanjaan sebenar setakat Jun lalu mencapai RM1.9 bilion. MOF turut meluluskan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Akmal berkata, berdasarkan tatacara kewangan kerajaan, sesebuah kementerian tidak boleh membuat perbelanjaan sesuka hati tanpa peruntukan dan kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa kewangan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Atas sebab itu, beliau mempersoalkan tindakan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut, khususnya apabila dakwaan itu turut menyentuh proses kelulusan dan penyaluran peruntukan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya terdapat unsur salah laku atau pelanggaran tatacara, perkara itu wajar disiasat dan fakta berkaitan perlu didedahkan kepada umum.
“Pada masa sama, kita juga perlu memahami dengan jelas siapa meluluskan peruntukan, siapa mengeluarkan SST, siapa bertanggungjawab menyalurkan wang dan di peringkat mana proses itu terhenti.
“Jangan akhirnya KKDW dipersoalkan mengenai wang yang telah diluluskan, tetapi tidak pernah sampai kepada kementerian untuk dibayar,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membuat laporan kepada SPRM bagi memohon siasatan terhadap peranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan dan perbelanjaan projek Jalan Luar Bandar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman sebelum ini berkata, agensi itu bersedia menjalankan siasatan sekiranya menerima aduan rasmi berhubung perkara berkenaan.
Akmal kemudian menyindir pihak mempersoalkan isu tersebut dengan berkata, jika seorang bekas Menteri Kewangan sendiri tidak memahami tatacara kewangan yang berlaku ketika berada dalam pentadbiran kerajaan, keadaan itu boleh menimbulkan persoalan mengenai pengurusan kewangan negara pada ketika itu.
“Kesian negara ada MP yang masih lagi tidak faham tatacara kewangan negara,” katanya.
Pada masa sama, pertikaian mengenai angka RM2.1 bilion itu masih menjadi isu politik yang melibatkan tafsiran terhadap peruntukan, komitmen projek, kelulusan dan pembayaran.
Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan isu berkenaan telah ditangani melalui penyusunan semula peruntukan serta tambahan RM300 juta bagi membantu pembayaran kepada kontraktor.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
