Di mana sebenarnya bermula kemelut DKU Negeri Sembilan?

Dari Editorial ND

KEMELUT Negeri Sembilan tidak boleh dilihat hanya bermula pada 19 April 2026 apabila pengisytiharan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar dibuat.

Untuk memahami akar persoalan, perhatian perlu kembali kepada satu persidangan khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dua hari sebelumnya, iaitu pada 17 April 2026.

Pada tarikh itu (17 April), DKU bersidang bagi membincangkan kedudukan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong. Rekod awam mengesahkan sidang khas tersebut memang berlangsung dan kemudiannya menjadi asas kepada keputusan yang diumumkan kerajaan negeri.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Namun, di sinilah muncul pertikaian yang sehingga kini belum benar-benar terlerai.

Menurut pihak yang mempertikaikan keputusan tersebut, kehadiran dalam mesyuarat 17 April dikatakan tidak lengkap. Mereka mendakwa hanya lima daripada lapan anggota hadir, manakala tiga lagi tidak hadir persidangan kerana isu notis yang dikatakan diterima lewat.

Lebih penting, mereka mempertikaikan apa yang sebenarnya diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

Dakwaan mereka ialah keputusan tersebut tidak dibuat secara sebulat suara seperti yang digambarkan dalam kenyataan Menteri Besar ketika itu (Aminuddin Harun). Sebaliknya, berlaku perbezaan pendirian dalam kalangan anggota yang hadir.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Perbezaan ini bukan soal kecil. Jika benar berlaku perbezaan pendirian, persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana keputusan itu direkodkan dalam minit mesyuarat dan apakah asas undang-undang digunakan untuk menganggap keputusan tersebut sebagai pendirian rasmi DKU?

Sebab itu permintaan untuk mendapatkan minit mesyuarat pada 17 April 2026 sangat penting.

Malah, Datuk Mubarak bersama lima individu lain telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat berkenaan.

Mereka mendakwa agenda mesyuarat tidak dilampirkan bersama notis dan mempersoalkan proses pemanggilan sidang khas tersebut. Dengan kata lain, minit mesyuarat bukan sekadar sehelai dokumen pentadbiran.

Ia boleh menjadi dokumen penting untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku di dalam bilik mesyuarat.

Siapa hadir, siapa tidak hadir, apa agenda sebenar, apa yang dibentangkan, apa yang dipersetujui, dan paling penting, apakah keputusan yang benar-benar dibuat oleh DKU?

Jika perkara asas seperti ini masih dipertikaikan, tidak menghairankan apabila setiap keputusan selepas 17 April turut dipersoalkan.

Kemudian datang pula peristiwa 19 April yang mengubah pertikaian mengenai seorang Undang menjadi krisis lebih besar apabila pengisytiharan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz dibuat oleh pihak yang menentang keputusan kerajaan negeri.

Dari satu pertikaian adat, ia berkembang menjadi pertikaian mengenai kuasa, kesahan keputusan dan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, dan kemelut itu tidak berhenti di situ.

Pada 31 Julai, DKU sekali lagi bersidang dan membuat beberapa keputusan berkaitan kedudukan Undang, termasuk pengiktirafan terhadap Undang baharu Sungai Ujong dan Rembau serta kedudukan Undang Jelebu. DKU menyatakan persidangan tersebut memenuhi syarat korum di bawah Fasal 20.

Tetapi, pihak yang menentangnya memberikan tafsiran yang berbeza. Mereka mendakwa persidangan itu tidak memenuhi korum dan oleh itu, keputusan yang dibuat tidak mempunyai kesan undang-undang.

Maka muncul persoalan yang lebih besar, iaitu jika kesahan mesyuarat dipertikaikan, bagaimana pula dengan keputusan yang lahir daripada mesyuarat itu?

Jika pelantikan seseorang Undang bergantung kepada proses terdahulu yang turut dipertikaikan, apakah kesan rantaian terhadap keputusan yang dibuat selepas itu?

Inilah yang menjadikan kemelut Negeri Sembilan seperti satu simpulan yang semakin sukar dileraikan.

Satu keputusan melahirkan keputusan berikutnya. Satu pelantikan membawa kepada pelantikan yang lain. Satu pemecatan mencetuskan pertikaian mengenai kuasa, dan akhirnya, pertikaian mengenai seorang Undang berkembang menjadi persoalan mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar.

Namun, di sinilah semua pihak perlu berhati-hati. Tidak memadai untuk mengatakan sesuatu keputusan itu sah atau tidak sah hanya berdasarkan kiraan kehadiran atau tafsiran sebelah pihak.

Persoalan sebenar perlu dirujuk kepada teks Undang-Undang Tubuh, rekod rasmi mesyuarat, minit yang lengkap dan keputusan mahkamah yang berkaitan.

Begitu juga dakwaan seseorang telah “menipu” atau sengaja memberikan gambaran yang tidak benar perlu disandarkan kepada bukti yang boleh disahkan, bukannya hanya perbezaan tafsiran politik.

Apa yang jelas ialah pertikaian mengenai minit mesyuarat 17 April memang telah dibawa ke Mahkamah Tinggi. Pada masa sama, pertikaian mengenai keputusan DKU dan bidang kuasa dewan juga telah menjadi sebahagian daripada proses perundangan.

Justeru, persoalan paling besar sekarang bukan siapa paling kuat bersuara. Bukan juga siapa paling banyak membuat kenyataan.

Persoalannya ialah, apakah sebenarnya yang berlaku dalam setiap mesyuarat DKU, siapa mempunyai kuasa menurut Undang-Undang Tubuh, apakah syarat korum sebenar, dan apakah kesan undang-undang terhadap setiap keputusan dibuat selepas itu?

Negeri Sembilan mempunyai sistem adat yang unik. Sebab itu penyelesaiannya juga tidak boleh disederhanakan menjadi sekadar pertarungan politik antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.

Jika adat mahu dihormati, perlembagaan negeri juga mesti dihormati. Jika institusi mahu dipertahankan, proses membuat keputusan institusi itu juga mesti dapat diterangkan dengan jelas, dan jika terdapat pertikaian, dokumen serta proses undang-undanglah yang akhirnya perlu menjadi rujukan.

Kerana dalam krisis sebesar ini, satu minit mesyuarat mungkin lebih penting daripada seribu kenyataan politik. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *