Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) To’ Deh-Tersan berlangsung meriah dengan penglibatan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang menggabungkan semangat patriotisme, perpaduan dan keceriaan keluarga.
Program yang berlangsung di padang bola Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, semalam, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu sempena tema pada tahun ini “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sekali gus menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi KRT, Bakri Jusoh berkata, antara acara yang mendapat perhatian ialah perarakan Merdeka sejauh hampir tiga kilometer disertai penduduk setempat dengan membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang.
Katanya, perarakan itu bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan, malah memberi peluang kepada penduduk dari pelbagai peringkat usia untuk bersama-sama meraikan kemerdekaan dalam suasana penuh muhibah.
“Pelbagai acara kita sediakan supaya semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa dapat mengambil bahagian.
“Tujuan utama bukan sekadar untuk mencari pemenang, tetapi mengeratkan hubungan sesama penduduk, memupuk semangat kerjasama dan memastikan sambutan Hari Kebangsaan dapat dinikmati bersama,” katanya.
Antara acara sukaneka yang dianjurkan ialah pertandingan lastik terbuka, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun. Turut diadakan juga acara kail dalam botol, berlari dalam guni dan cucuk benang dalam jarum bagi menguji ketangkasan serta kesabaran peserta.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagi menceriakan golongan kanak-kanak, acara berebut gula-gula dikhaskan untuk yang berusia enam tahun ke bawah.
Tidak ketinggalan acara kasih sayang berpasangan yang menguji keserasian peserta, selain pertandingan kukur kelapa dan gubahan tuala yang dikhaskan untuk wanita.
Program turut dimeriahkan dengan pertandingan sepakan penalti, campak jala paling besar dan comel.

Acara tarik tali turut menjadi antara tarikan utama apabila peserta menunjukkan kekuatan dan kerjasama dalam pasukan masing-masing, sebelum sambutan diakhiri dengan cabutan bertuah.
Menurut Bakri, kepelbagaian acara disediakan bertujuan memastikan sambutan tidak hanya tertumpu kepada satu golongan, sebaliknya memberi ruang kepada kanak-kanak, golongan muda, lelaki dan wanita untuk sama-sama merasai kemeriahan Hari Kebangsaan.
“Apabila semua dapat berkumpul dalam satu program, kita dapat melihat semangat kejiranan yang begitu baik.
Inilah nilai yang kita mahu suburkan dalam masyarakat, kerana perpaduan tidak lahir hanya melalui kata-kata, tetapi kebersamaan dan semangat saling membantu,” katanya.
Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak yang mengenakan pakaian bertemakan patriotik, selain basikal dihias dengan Jalur Gemilang bagi menyerlahkan lagi semangat kecintaan terhadap negara.

Program berkenaan turut menjadi medan untuk memperkenalkan semangat patriotisme kepada generasi muda supaya mereka mengenali erti kemerdekaan serta menghargai keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati hari ini.
Katanya, kemeriahan program bukan diukur berdasarkan kemenangan dalam pertandingan, sebaliknya melalui keakraban yang terjalin antara penduduk sepanjang program berlangsung.
“Kita mahu sambutan ini meninggalkan kenangan. Anak-anak dapat bermain, ibu bapa dapat berkumpul dan masyarakat dapat beramah mesra. Inilah kesejahteraan yang kita nikmati bersama,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
