KAMPAR – Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, di sini, malam tadi.
Jenazah pesara tentera, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selamat dikebumikan kira-kira jam 11 malam.
Kira-kira 300 penduduk kampung serta kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada keluarga berkenaan sehingga selesai urusan pengebumian.
Sebelum itu, jenazah ketiga-tiga mangsa menjalani bedah siasat di Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang untuk disolatkan.
Isteri Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa nahas kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Dalam nahas kira-kira jam 1 pagi itu, tiga pejalan kaki dari sebuah keluarga maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori Black Maria JIM.
Siasatan awal mendapati lori tanpa muatan itu dalam perjalanan ke Chow Kit bagi operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Lori itu kemudian bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Impak perlanggaran itu menyebabkan lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh tiga beranak berkenaan serta sebuah kenderaan Inokom Matrix.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
