Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali
SUDAH tiba masanya kita menanggalkan tanggapan usang yang meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan kedua bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik. Jika kita masih berpegang kepada stereotaip ini, kita sebenarnya sedang menutup mata terhadap realiti baharu ekonomi global.
Dalam era kecerdasan buatan, automasi, semikonduktor, kenderaan elektrik dan teknologi hijau, negara yang gagal melahirkan tenaga mahir bukan sekadar ketinggalan, ia sedang mengunci dirinya menjadi pengguna kekal teknologi ciptaan orang lain.
Malaysia sememangnya mempunyai ekosistem TVET yang besar. Program ditawarkan oleh pelbagai kementerian, agensi, institusi awam, institusi swasta dan pemain industri.
Namun, besar tidak semestinya tersusun. Kita perlu berani bertanya adakah kepelbagaian ini benar-benar memberi lebih banyak pilihan, atau sebenarnya mewujudkan terlalu banyak laluan yang tidak selari sehingga menyukarkan penyelarasan dan kefahaman keseluruhan sistem?
Realitinya, TVET negara masih berhadapan dengan isu tadbir urus yang tidak selaras dan berlapis-lapis. Pelbagai struktur, sistem, standard, mekanisme pembiayaan dan bentuk persijilan bergerak secara berasingan tanpa penyelarasan yang menyeluruh.
Keadaan ini mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, menyukarkan majikan menilai kesetaraan kelayakan, serta meningkatkan risiko pertindihan program dan pembaziran sumber oleh pihak kerajaan.
Fragmentasi ini bukan sekadar isu pentadbiran. Ia memberi kesan langsung kepada perancangan tenaga kerja negara. Apabila data institusi, program, kapasiti latihan, permohonan, graduan dan kebolehpasaran tidak disepadukan, kita mungkin terus menawarkan bidang yang telah tepu sedangkan industri baharu masih tercari-cari tenaga mahir.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kita tidak boleh menghasilkan bakat berdasarkan apa yang mudah ditawarkan, tetapi kita mesti menghasilkan bakat berdasarkan apa yang benar-benar diperlukan.
Standard juga menjadi persoalan utama. Malaysia mempunyai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau NOSS yang dibangunkan berasaskan kompetensi pekerjaan.
Namun, masih terdapat industri atau agensi yang menggunakan standard tersendiri tanpa penjajaran yang jelas dengan kerangka nasional. NOSS sewajarnya diperluas penggunaannya sebagai asas penyediaan deskripsi tugas, Analisis Keperluan Latihan atau Training Needs Analysis (TNA) dan analisis jurang kompetensi bagi merancang latihan, peningkatan kemahiran serta latihan semula pekerja.
Standard industri memang perlu diraikan, tetapi jika setiap pihak mahu membina lebuh raya sendiri, akhirnya tenaga mahir kita sukar bergerak dari satu sektor ke sektor lain.
Dalam hal ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) tidak boleh sekadar menuding jari kepada pihak lain. Kami juga perlu melihat ke dalam. Proses pembangunan NOSS mesti menjadi lebih pantas, fleksibel dan responsif terhadap teknologi baharu.
Penglibatan persatuan industri, majikan dan pakar pekerjaan perlu diperkukuh. Data dalaman pula mesti dimanfaatkan sebagai asas membuat keputusan, bukan sekadar disimpan sebagai laporan tahunan.
Sebab itu JPK sedang melaksanakan pembaharuan melalui pendekatan NOSS Sinergi, NOSS Adaptasi Industri dan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan bagi menyokong pembangunan standard. Pemantauan kualiti pusat bertauliah turut diperkukuh, manakala prestasi badan peneraju industri perlu diukur berdasarkan hasil sebenar.
Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 atau Akta 652 telah menyediakan asas yang kukuh bagi mengawal selia latihan berasaskan kompetensi. Melalui akta ini, program ditauliahkan, pusat latihan dipantau dan persijilan dikeluarkan di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia.
Pindaan terbaharu turut memperkenalkan pendekatan lebih fleksibel, termasuk pensijilan modular, pengiktirafan kepakaran industri dan ruang mengiktiraf program kemahiran baharu.
Oleh itu, setiap cadangan mewujudkan struktur atau badan kawal selia baharu perlu dinilai dengan sangat berhati-hati. Persoalannya bukan sama ada kita memerlukan lebih banyak institusi, tetapi sama ada institusi sedia ada telah diberikan mandat, sumber dan mekanisme penyelarasan yang mencukupi.
Menambah satu lagi lapisan pentadbiran tanpa menyelesaikan pertindihan fungsi mungkin hanya akan menjadikan proses kawal selia menjadi makin rumit.
Cadangan memperkukuh tadbir urus TVET, termasuk melalui penubuhan mekanisme penyelarasan peringkat nasional, boleh dipertimbangkan sebagai usaha memperkemas hala tuju keseluruhan ekosistem.
Namun, peranannya perlu jelas sebagai penghubung dasar merentas kementerian dan agensi, tanpa mengganggu fungsi teknikal sedia ada. Fungsi pembangunan standard, pentauliahan, penilaian dan pensijilan wajar terus dilaksanakan oleh agensi yang mempunyai pengalaman, kepakaran teknikal serta punca kuasa perundangan masing-masing.
Prinsip sama perlu digunakan terhadap cadangan mana-mana penyedia latihan untuk menubuhkan badan akreditasi sendiri. Penyedia latihan tidak seharusnya pada masa yang sama menjadi pengawal selia kepada program yang ditawarkannya.
Dalam bahasa mudah, pemain tidak boleh menjadi pengadil bagi perlawanannya sendiri. Pensijilan dalaman boleh menyokong keperluan organisasi, tetapi akreditasi nasional mesti kekal bebas, telus dan diyakini.
Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET yang diterajui bersama oleh JPK dan Agensi Kelayakan Malaysia perlu diperkukuh, bukan dipecahkan kepada sistem baharu.
Dalam kerangka ini, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) perlu diletakkan sebagai pengiktirafan nasional tunggal terhadap kelayakan kompetensi TVET bagi tujuan pembangunan dan kemajuan kerjaya.
Industri memerlukan kepastian bahawa graduan yang diambil bekerja benar-benar kompeten, manakala pekerja memerlukan kelayakan yang boleh menyokong mobiliti, peningkatan tahap kemahiran dan perkembangan kerjaya.
Pelajar pula berhak mengetahui bahawa sijil yang diperoleh mempunyai nilai dan tidak menjadi sekadar kertas selepas tamat latihan.
Pembaharuan juga perlu bermula secara dalaman di peringkat jabatan dan agensi yang terlibat dalam pelaksanaan latihan kemahiran. Program latihan yang dilaksanakan boleh dipadankan dengan NOSS atau diangkat sebagai standard industri.
Dana latihan yang diuruskan oleh agensi-agensi berkaitan sewajarnya diselaraskan agar menyokong pekerja industri memperoleh persijilan kemahiran yang diiktiraf. Jika kita mahu seluruh kerajaan menyokong ekosistem TVET, kita sendiri mesti terlebih dahulu menunjukkan teladan.
Masa depan TVET Malaysia tidak bergantung pada siapa memiliki paling banyak institusi, program atau sistem. Ukuran kejayaan sebenar ialah sejauh mana latihan melahirkan pekerja kompeten, meningkatkan pendapatan dan memenuhi permintaan industri.
Kita tidak kekurangan struktur tetapi kekurangan keberanian untuk menyelarasnya. Sudah tiba masanya TVET bergerak sebagai satu sistem negara yang benar-benar bersepadu dan berfungsi dengan satu hala tuju yang jelas.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalahKetua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
