KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai tarikh pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan tunangnya, Bella Astillah, akhirnya terjawab apabila pasangan itu mengumumkan mereka bakal disatukan pada 10 Oktober ini.
Lebih istimewa, pasangan yang semakin mendapat perhatian ramai itu memilih aras 118, Menara Merdeka Maybank, sebagai lokasi untuk melangsungkan akad nikah mereka.
Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, yang bertunang pada 28 Mac lalu, turut mendedahkan majlis pernikahan mereka bakal mengangkat konsep serba putih dengan sentuhan elemen Arab atau Islamik, mengikut permintaan keluarga.
Pengumuman yang dinanti-nantikan peminat itu dibuat menerusi siaran langsung program hiburan MeleTOP, malam tadi.
Suasana bertambah romantik apabila sebuah klip video khas ditayangkan, menampilkan Syed Saddiq dan Bella mengenakan busana tradisional berwarna putih sambil berjalan dan berbalas kata-kata romantis.
Tarikh 10 Oktober kemudian didedahkan pada penghujung video berkenaan, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton dan peminat pasangan yang dikenali dengan gelaran ‘BASS’ itu.
Menurut Syed Saddiq, pemilihan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai persiapan yang perlu dilakukan, selain menghargai doa serta nasihat yang diterima daripada orang ramai sejak mereka mengumumkan pertunangan.
“Kalau boleh memang hendak kahwin lebih awal. Tetapi ini yang paling awal kami boleh buat persediaan. Oktober ialah bulan yang akan kami memulakan hidup baharu,” katanya ketika program berkenaan yang dihoskan Nabil Ahmad dan Namie.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Syed Saddiq turut menyampaikan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan perjalanan hubungan mereka.
Katanya, segala nasihat yang diberikan turut dibaca dan diambil serius olehnya.
Pemilihan Menara Merdeka Maybank sebagai lokasi akad nikah turut mempunyai nilai sentimental tersendiri buat pasangan berkenaan.
Syed Saddiq merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara Merdeka Maybank kerana memberikan keizinan untuk mereka melangsungkan majlis di aras 118 bangunan berkenaan.
Lebih menarik, majlis mereka bakal menjadi antara majlis pernikahan pertama yang dianjurkan di tingkat 118 lokasi tersebut.
“Saya turut ucapkan terima kasih kepada Menara Merdeka Maybank kerana bagi (keizinan) bernikah di sana. Istimewanya, ini bakal menjadi yang pertama majlis pernikahan diadakan di tingkat 118,” katanya.
Bukan hanya akad nikah, Syed Saddiq dan Bella turut merancang untuk mengadakan majlis persandingan dalam bulan yang sama, selain beberapa majlis lain yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah.
Turut hadir menyaksikan pengumuman istimewa itu ialah ibu bapa Syed Saddiq dan Bella.
Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan penantian peminat yang sejak sekian lama tertanya-tanya mengenai tarikh sebenar pasangan itu bakal bergelar suami isteri.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat pada 2025, sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Pada 25 Julai lalu, pasangan berkenaan sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik foto berkonsepkan busana perkahwinan yang disifatkan netizen sebagai sebahagian daripada rakaman praperkahwinan mereka.
Sejak itu, pelbagai spekulasi mengenai tarikh pernikahan mula bertebaran, terutama selepas pasangan berkenaan berkunjung ke pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya bulan lalu.
Kunjungan tersebut turut menguatkan andaian dalam kalangan peminat bahawa hari bahagia pasangan itu bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahan mereka sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun pasangan itu memilih untuk merahsiakannya buat sementara waktu.
Kini, segala teka-teki akhirnya terjawab.
10 Oktober 2026 bakal menjadi tarikh penting buat Syed Saddiq dan Bella Astillah apabila dua hati yang telah melalui perjalanan penuh perhatian umum itu memilih untuk melangkah ke fasa baharu sebagai pasangan suami isteri.
Bagi Bella, perkahwinan ini bakal menjadi lembaran baharu dalam kehidupan selepas sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz, pada 2016.
Pasangan itu bercerai buat kali pertama pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah, namun sekali lagi berpisah pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan terdahulu itu, Bella dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
Kini, tumpuan peminat pastinya terarah kepada 10 Oktober 2026 — hari yang bakal menyaksikan Syed Saddiq dan Bella memulakan satu lagi perjalanan hidup, kali ini sebagai pasangan suami isteri.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
