Tiga Sekeluarga Maut, Lori Imigresen Dipercayai Langgar Lampu Merah

KUALA LUMPUR – Tragedi awal pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, meragut nyawa tiga sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, selepas sebuah lori Jabatan Imigresen dipercayai melanggar lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, tiga mangsa iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri mangsa, yang juga ibu kepada dua beradik berkenaan, berusia 55 tahun pula mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki.

Wanita itu kemudiannya dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebuah Proton Saga, Inokom Matrix serta empat pejalan kaki yang semuanya dari keluarga sama.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun yang ketika kejadian dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur ke Chow Kit.

“Pemandu berkenaan dalam perjalanan ke sana untuk mengambil tahanan selepas operasi terhadap pendatang tanpa dokumen di kawasan berkenaan.

“Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Pada masa sama, Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak terus melalui persimpangan selepas lampu isyarat bagi laluannya bertukar hijau.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak lori berkenaan sebelum berlaku pelanggaran di tengah persimpangan.

Impak pelanggaran itu kemudian menyebabkan lori Imigresen hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga.

Lori berkenaan turut melanggar sebuah Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Ketiga-tiga pemandu terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Polis kemudiannya menahan pemandu lori Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.

Hasil ujian pernafasan bagi mengesan alkohol serta saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati kedua-duanya negatif.

Sementara itu, polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

Polis turut mengesan saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan.

“Kenderaan yang terbabit turut dibawa untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, beberapa video dan gambar yang memaparkan keadaan kenderaan yang remuk selepas kemalangan berkenaan turut tersebar di media sosial.

Tragedi itu bukan sahaja mengorbankan tiga nyawa dalam sekelip mata, malah meninggalkan seorang ibu yang kini kehilangan suami dan dua anaknya dalam satu kejadian yang amat menyayat hati.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *