KUALA LUMPUR – MN Holdings Bhd menyasarkan peluang pertumbuhan dalam infrastruktur kuasa, pusat data, tenaga boleh diperbaharui, air dan gas selepas berjaya memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Pemindahan itu dilihat syarikat sebagai platform lebih kukuh untuk mengambil bahagian dalam pembangunan infrastruktur, kuasa, tenaga dan utiliti Malaysia, selain meningkatkan kedudukannya dalam pasaran modal.
Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh, berkata pencapaian berkenaan mencerminkan kemajuan kumpulan sejak disenaraikan di Pasaran ACE, termasuk pengukuhan prestasi kewangan, pengembangan portfolio projek serta peningkatan keupayaan dalam projek infrastruktur kuasa dan utiliti kritikal.
“Kejayaan pemindahan ke Pasaran Utama mewakili satu peristiwa penting bagi MN Holdings dan mencerminkan kemajuan yang telah dicapai selama ini,” katanya.
Toh berkata platform Pasaran Utama juga dijangka meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti MN Holdings dalam kalangan pelanggan, rakan niaga, pemegang saham serta pelabur, sekali gus memberi asas lebih kukuh untuk meneruskan strategi pertumbuhan kumpulan.
“Lebih penting lagi, ia meletakkan MN Holdings pada kedudukan yang lebih kukuh untuk merebut peluang yang timbul daripada pelaburan berterusan Malaysia dalam infrastruktur kuasa, pusat data, tenaga boleh diperbaharui, air, gas dan pembangunan berkaitan utiliti,” katanya.
Menurut syarikat, pemindahan ke Pasaran Utama turut dijangka meningkatkan profil korporat serta keterlihatan MN Holdings dalam kalangan kumpulan pelabur institusi dan runcit yang lebih luas.
MN Holdings berkata ia akan terus memperkukuh keupayaan dan meluaskan jejak merentasi landskap infrastruktur, kuasa, tenaga serta utiliti negara yang sedang berkembang, dengan peluang baharu dinilai berdasarkan kesesuaiannya dengan kepakaran teknikal dan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kumpulan turut menegaskan komitmennya terhadap pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham, selain mengekalkan kualiti, kebolehpercayaan serta nilai dalam pelaksanaan setiap projek.
Ditubuhkan pada 2007, MN Holdings mengkhusus dalam pembinaan utiliti infrastruktur, terutama utiliti bawah tanah dan infrastruktur kuasa di Malaysia sebelum mengembangkan operasinya kepada bidang kejuruteraan pencawang pada 2012.
Kumpulan kini menyediakan perkhidmatan pembinaan, penyepaduan dan penyelenggaraan bagi sistem kuasa elektrik, selain bekerjasama dengan pengeluar global untuk mengedarkan sistem kawalan kuasa dan komponen pencawang bagi menyokong projek infrastruktur kritikal.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
