TAWAU – Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) memperkukuh peranan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik, makmur serta mendapat tempat di hati pelawat domestik mahupun luar negara.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata FKAT memiliki kelas tersendiri dan merupakan platform besar untuk mengetengahkan khazanah budaya rakyat berbilang kaum di negeri itu.
“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang, saya yakin festival ini mampu membawa impak besar terhadap sektor pelancongan dan ekonomi Tawau,” katanya ketika merasmikan FKAT kali ke-11 di sini malam tadi.
Beliau berkata FKAT bukan hanya memperlihat keunikan citra masyarakat di Sabah tetapi juga menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang etnik di Sabah.
“Keunikan ini juga menjadi tarikan peserta dari negara luar antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kemboja dan Indonesia untuk menyertai festival ini, Tawau sebagai bandar sempadan yang kaya dengan jaringan diplomasi budaya serta kerjasama serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pelaksanaan FKAT turut membuka limpahan rezeki kepada pelbagai pihak termasuk usahawan, pengusaha inap desa atau homestay atau penggiat seni dan peniaga kecil menjana pendapatan.
Sementara itu, menurutnya kerajaan negeri terus mempergiat inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027
“Pelbagai promosi pelancongan yang dilaksanakan termasuk berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen yang akan menarik kehadiran pelancong luar negara,” katanya.
Di samping itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing di Sabah. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
