TEBING BARAT – Detik hiba menyelubungi Palestin apabila Sheikh Farouk Adnan Ali Ramadan bersama tiga sepupunya disahkan gugur syahid dalam satu insiden berdarah pada Jumaat.
Beliau maut ditembak mati oleh tentera Israel sejurus selepas cubaannya mempertahankan tanah milik keluarganya daripada pencerobohan oleh sekumpulan peneroka haram zionis.
Insiden ini bukan sahaja mengorbankan empat nyawa dalam satu keluarga, malah mencetuskan gelombang ketegangan baharu di wilayah bergolak tersebut.
Peristiwa menyayat hati itu berlaku di Kampung Tal, sebuah kawasan perkampungan yang terletak di barat daya daerah Nablus, Tebing Barat yang dijajah oleh negara haram Israel.
Ketegangan bermula apabila sekumpulan peneroka haram Israel dari pos penempatan haram Havat Gilad bertindak menceroboh dengan melancarkan serangan provokasi ke atas kawasan barat kampung itu yang menempatkan tanah pertanian milik penduduk tempatan Palestin.
Melihat tanah warisan mereka diancam, Sheikh Farouk bertindak berani tanpa senjata untuk menghalang pencerobohan tersebut dan beliau dilaporkan berjaya merampas senjata daripada salah seorang penyerang demi mempertahankan diri dan keluarganya.
Namun, tindakan berani itu dibalas dengan tembakan menyebabkan kematiannya yang sangat tragis.
Ketika pergelutan dan serangan itu meruncing, bala tentera haram Israel yang berada di lokasi bagi melindungi peneroka haram tersebut mula melepaskan tembakan rambang dan sasaran tepat.
Tembakan tersebut telah mengorbankan Sheikh Farouk Ramadan di tempat kejadian dan tragedi menjadi lebih parah apabila tiga sepupunya yang berada di lokasi sama untuk memberikan bantuan turut ditembak mati.
Mereka yang terkorban syahid dikenal pasti sebagai Ibrahim Ramadan, Jawad Ramadan dan Imran Ramadan.
Satu rakaman video yang tular di media sosial telah dikaji dan disahkan semula oleh agensi berita Middle East Eye dengan rakaman itu mendedahkan fakta penting mengenai detik terakhir riwayat Sheikh Farouk ditamatkan.
Berdasarkan analisis video, Sheikh Farouk pada awalnya dilihat telah mengalami kecederaan akibat pergelutan awal. Beliau kemudiannya dirakam sedang berjalan kaki meninggalkan kumpulan berkenaan dalam keadaan tidak bersenjata.
Bagaimanapun, pihak tentera haram Israel tetap melepaskan tembakan maut ke arah beliau yang ketika itu sudah tidak lagi memberikan sebarang ancaman.
Pasca kejadian menyaksikan pihak tentera haram Israel meningkatkan tekanan fizikal dan mental ke atas penduduk Kampung Tell dengan melakukan menyerbu masuk ke dalam rumah kediaman keluarga Farouk Ramadan.
Berpuluh penduduk kampung, termasuk ahli keluarga mangsa, ditahan untuk siasatan dan intimidasi dengan pihak berkuasa haram Israel dilaporkan telah memulakan persiapan logistik dan undang-undang untuk merobohkan rumah keluarga Farouk Ramadan sebagai bentuk hukuman punitif.
Kematian empat ahli keluarga Ramadan ini telah membakar kemarahan lebih luas di Tebing Barat sehingga insiden itu mencetuskan rantaian kesan yang meruncingkan keselamatan serantau.
Antaranya, kumpulan peneroka haram Israel dilaporkan melancarkan gelombang serangan bersiri yang lebih agresif ke atas beberapa kampung Palestin berhampiran.
Sebagai respons politik terhadap insiden itu, pihak berkuasa haram Israel secara rasmi mengumumkan rancangan untuk meluluskan pembinaan ribuan unit penempatan haram baharu di atas tanah Palestin, sekali gus membelakangkan undang-undang antarabangsa.
Situasi di Nablus dan seluruh Tebing Barat kini dilaporkan berada pada tahap yang sangat kritikal dengan kawalan ketat di semua pos pemeriksaan keluar masuk.
Dalam kalangan umat Islam, pemergian mereka yang terbunuh ketika mempertahankan diri, keluarga atau harta sering dikaitkan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:
“Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia adalah seorang syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia adalah seorang syahid. Dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia adalah seorang syahid.”
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L