Ng Yan Cheng gesa henti serangan peribadi, bantuan RM89.55 juta bagi menyokong operasi PRG

KUALA LUMPUR – Pemegang saham terbesar PRG Holdings Bhd. (PRG), Datuk Ng Yan Cheng menggesa segala serangan peribadi kepadanya dihentikan, selain menjelaskan bantuan kewangan RM89.55 juta yang disalurkan kepada syarikat dan anak-anak syarikat bertujuan memastikan segala operasi syarikat berjalan lancar ketika berdepan masalah aliran tunai.

Beliau berkata, daripada jumlah sokongan yang diberikan, sejumlah RM16.64 juta adalah pendahuluan pemegang saham tanpa faedah.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, sebanyak RM73.10 juta belum dijelaskan, dan semua pendahuluan yang kini perlu dibayar kepada beliau adalah tidak bercagar.

“Pada saat-saat sukar, saya menyokong PRG kerana saya percaya perniagaan dapat distabilkan dan nilai pemegang saham akhirnya dapat dipelihara.

“Pembiayaan tersebut membantu Kumpulan memenuhi komitmen operasi, membayar gaji pekerja dan meneruskan aktivitinya apabila penjanaan tunai dalaman tidak mencukupi,”katanya.

Beliau menambah, sokongan tersebut harus dinilai bukan sahaja dengan merujuk kepada jumlah yang didahulukan, tetapi juga dalam konteks risiko komersial yang ditanggung.

Pendahuluan tertunggak tidak bercagar, sebahagian besarnya tidak dikenakan faedah dan pembayaran balik telah dilanjutkan sebelum ini dalam tempoh yang lama sementara Kumpulan PRG menghadapi kemunduran operasi dan kewangan.

Tambahnya, sesetengah pemegang saham dengan mudahnya mengabaikan kegagalan Kumpulan PRG yang lalu dan memutarbelitkan isu pihak berkaitan secara tidak seimbang.

Yan Cheng berkata, apa yang menyakitkan hati ialah melihat pemegang saham dipimpin berdasarkan naratif yang tidak lengkap dan mengelirukan untuk menyerang beliau serta keluarganya secara peribadi.

“Sebagai salah seorang pemegang saham, pemiutang dan penyokong kewangan PRG yang terbesar, saya mempunyai banyak sebab untuk mahu syarikat pulih.

“Jika PRG gagal, saya berisiko kehilangan dana yang dipinjamkan kepada Kumpulan, manakala nilai pegangan saham saya juga akan terjejas. Kepentingan saya sentiasa sejajar dengan kelangsungan hidup, kestabilan dan pemulihan jangka panjang PRG,” ujarnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *