Sudah Tiba Masanya Akta Perlindungan Guru Digubal, Kata Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Cadangan menggubal Akta Perlindungan Guru kembali mendapat perhatian apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiba masanya kerajaan mewujudkan satu kerangka perundangan khusus bagi melindungi warga pendidik yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan niat baik, mematuhi prosedur serta bertindak demi kepentingan disiplin dan keselamatan pelajar.

Beliau berkata, guru hari ini semakin berdepan cabaran apabila tindakan profesional yang diambil dalam mengurus disiplin murid sering membawa kepada ancaman saman, laporan polis atau tindakan undang-undang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendidik untuk melaksanakan tugas dengan tegas.

Menurutnya, keadaan tersebut bukan sahaja memberi tekanan kepada guru, malah berisiko menjejaskan keberkesanan sistem pendidikan sekiranya warga pendidik mula mengambil pendekatan terlalu berhati-hati kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang.

“Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi warga pendidik yang menjalankan tugas dengan niat baik (good faith), secara munasabah serta mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam mengawal disiplin dan memastikan keselamatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Asyraf berkata, seorang guru sering berdepan situasi yang memerlukan keputusan segera, sama ada melibatkan isu disiplin, keselamatan mahupun kecemasan di sekolah.

Menurut beliau, tindakan sedemikian dibuat berdasarkan tanggungjawab profesional dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), justeru guru tidak seharusnya mudah terdedah kepada tindakan sivil atau jenayah hanya kerana terdapat pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan yang diambil.

Beliau berkata, antara objektif utama akta tersebut ialah memberi perlindungan undang-undang kepada guru yang bertindak mengikut prosedur rasmi, di samping mengurangkan budaya litigasi yang semakin ketara dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan sekolah.

Katanya, mekanisme seperti siasatan dalaman, jawatankuasa bebas atau proses mediasi boleh diwujudkan sebagai saluran penyelesaian awal sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

“Ramai guru akhirnya terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan khidmat guaman apabila disaman. Sedangkan mereka hanya melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka sebagai pendidik.

“Perlindungan yang bersesuaian termasuk bantuan guaman atau indemniti kerajaan kepada guru yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk menjalankan tugas tanpa tekanan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, kebimbangan berterusan terhadap kemungkinan disaman menyebabkan ada dalam kalangan guru memilih untuk tidak mengambil tindakan disiplin walaupun keadaan memerlukan.

Katanya, jika situasi itu berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan disiplin murid, malah boleh memberi kesan kepada pengurusan sekolah serta usaha membentuk sahsiah dan nilai murni dalam kalangan pelajar.

Asyraf turut berpandangan, perlindungan undang-undang yang jelas dan munasabah mampu meningkatkan imej profesion perguruan, sekali gus membantu menarik lebih ramai individu berkualiti untuk menyertai bidang pendidikan serta mengekalkan guru-guru berpengalaman dalam sistem persekolahan negara.

“Profesion guru perlu terus dihormati dan diyakini kerana mereka memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk generasi masa depan negara,” katanya.

Cadangan menggubal Akta Perlindungan Guru kembali menjadi perhatian susulan beberapa insiden melibatkan guru yang berdepan tindakan undang-undang selepas mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes berprofil tinggi melibatkan guru disaman oleh ibu bapa atau penjaga selepas tindakan disiplin diambil terhadap murid telah mencetuskan perbahasan mengenai tahap perlindungan undang-undang yang dinikmati oleh warga pendidik.

Antara isu yang sering dibangkitkan ialah tindakan merotan, mengasingkan pelajar bermasalah, menghalang murid daripada menyertai aktiviti tertentu atas faktor disiplin, serta tindakan segera guru ketika berlaku insiden yang melibatkan keselamatan pelajar.

Walaupun kebanyakan tindakan tersebut dibuat berdasarkan peraturan sekolah dan garis panduan Kementerian Pendidikan, guru tetap berisiko berdepan tindakan sivil atau laporan jenayah apabila ibu bapa memilih membawa pertikaian ke mahkamah.

Perkembangan itu menyebabkan pelbagai pertubuhan pendidikan, kesatuan guru dan pakar perundangan sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan satu akta khusus yang memberikan imuniti terhad kepada guru yang bertindak secara munasabah, mengikut prosedur dan tanpa unsur kecuaian atau niat jahat.

Penyokong cadangan itu berpendapat perlindungan sedemikian bukan bertujuan menghalang guru daripada dipertanggungjawabkan jika berlaku salah laku, sebaliknya memastikan mereka tidak dihukum hanya kerana melaksanakan tugas profesional demi menjaga disiplin, keselamatan dan kebajikan pelajar.

Dalam masa sama, mereka berpandangan sebarang perlindungan undang-undang perlu disertai mekanisme semak dan imbang yang jelas supaya hak pelajar serta ibu bapa terus dipelihara, selain memastikan setiap tindakan disiplin di sekolah dilaksanakan secara adil, telus dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *