'MN Sabah tak dibubar, akan selesai isu 24 jam' - Annuar Musa

BERSATU Bebas Menentukan Haluan, PN Kekal Berpegang Kepada Muafakat – Annuar

SHAH ALAM – Pengumuman parti BERSATU untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menggunakan logo sendiri membawa satu makna politik yang cukup jelas, kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Kata beliau, tindakan itu menunjukkan BERSATU secara sukarela telah memilih haluan berbeza dan mengambil keputusan untuk bermufarakah daripada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Di pihak PN, katanya, sebarang keputusan berhubung pembahagian kerusi, pemilihan calon serta penggunaan lambang parti sebenarnya hanya akan dimuktamadkan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang dijadualkan hari ini, 16 Julai, jam 9.30 pagi.

“Oleh itu, tindakan BERSATU membuat pengumuman lebih awal daripada keputusan rasmi Majlis Tertinggi PN adalah hak mutlak mereka sebagai sebuah parti politik, dan keputusan tersebut wajar dihormati oleh semua pihak.

“Hakikatnya, perkembangan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sejak lebih sebulan lalu, bahkan sebelum proses penamaan calon PRN Johor, pimpinan PN telah dimaklumkan serta diberikan pelbagai bukti serta dokumen yang menunjukkan wujudnya perancangan BERSATU untuk menggerakkan satu platform politik berasingan daripada PN.

“Justeru, pengumuman oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hanyalah mengesahkan apa yang telah lama menjadi pengetahuan dalam kalangan kepimpinan gabungan,” katanya dalam kenyataan.

Sejak awal lagi juga, menurut Annuar, pihaknya melihat pendirian BERSATU secara konsisten menolak usaha memperkukuhkan penyatuan dan muafakat Melayu.

“Mereka tidak bersetuju dengan cadangan memperluaskan PN melalui penyertaan lebih banyak parti politik Melayu berkongsi aspirasi yang sama. Sedangkan bagi PAS, agenda penyatuan ummah dan pengukuhan kesatuan politik Melayu-Islam sentiasa menjadi keutamaan yang mengatasi kepentingan mana-mana parti secara individu.

“Apa jua alasan dikemukakan bagi menjelaskan keputusan menggunakan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita memahami latar belakang kepada keputusan tersebut.

“BERSATU sendiri sebelum ini telah mengemukakan secara rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional hasrat untuk bertanding di 15 kerusi sebagai senarai permintaan mereka,” ujarnya.

Namun, kata Annuar lagi, realitinya PN hari ini terdiri daripada enam parti komponen yang masing-masing mempunyai hak dan kepentingan untuk diambil kira.

Katanya, dengan jumlah kerusi dipertandingkan serta keperluan mencapai pembahagian yang adil, sudah tentu permintaan tersebut sukar untuk dipenuhi, bahkan tidak mungkin keseluruhan ruang politik itu dimonopoli oleh sebuah parti sahaja.

“Oleh sebab itu, keputusan BERSATU untuk bergerak menggunakan lambang sendiri boleh dianggap sebagai jalan terbaik dari sudut pendirian mereka.

“Dengan keputusan itu, BERSATU kini mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menentukan jumlah kerusi yang hendak ditandingi, sama ada 15 kerusi atau lebih, tanpa terikat dengan proses rundingan dan semangat perkongsian dalam PN,” katanya.

Menurut beliau, bagi PAS, prinsip perjuangan tidak pernah diukur berdasarkan jumlah kerusi ditandingi atau kedudukan politik yang diperoleh.

Yang utama, katanya, usaha memperkukuhkan penyatuan ummah, membina muafakat lebih luas dan memastikan kekuatan politik orang Melayu serta umat Islam terus dipertahankan.

“Kerusi boleh dirunding, jawatan boleh berubah, tetapi matlamat penyatuan tidak boleh dikorbankan demi kepentingan mana-mana pihak.

“Akhirnya, kita menghormati keputusan BERSATU dan menerima hakikat mereka telah memilih haluan politik mereka sendiri. Kita mendoakan agar mereka berjaya mengikut acuan yang dipilih.

“Pada masa sama, PN akan terus bergerak ke hadapan berlandaskan keputusan Majlis Tertinggi, dengan semangat kebersamaan, muafakat dan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *