Oleh Manzaidi Mohd Amin
USAHA memperkasa dunia penulisan kreatif dan memperluaskan ekosistem kesusasteraan Melayu terus diperkasakan menerusi penganjuran Majlis Pelancaran Buku dan Apresiasi Alumni Akademi Sanggar Nurimas (ASN) PBAA 5.0 yang berlangsung meriah dengan menghimpunkan penulis, alumni, penggiat seni, pendidik, penerbit serta pencinta sastera dari seluruh negara.
Program yang berlangsung sepanjang hari di Kota Bharu, Kelantan itu bukan sekadar meraikan pelancaran beberapa judul buku baharu, malah menjadi pentas mengiktiraf sumbangan penulis dan alumni ASN yang aktif menghasilkan karya berkualiti serta memainkan peranan dalam mengembangkan budaya ilmu, pembacaan dan penulisan kreatif di negara ini.
Sejak awal pagi, dewan program mula dipenuhi peserta yang hadir seawal jam 8 pagi bagi mengikuti pelbagai pengisian yang disusun. Sesi dimulakan dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan wacana sastera yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penulis baharu, penulis mapan, guru, mahasiswa serta pencinta dunia persuratan Melayu.
Wacana tersebut membuka ruang perbincangan mengenai cabaran dunia penerbitan masa kini, perkembangan penulisan kreatif, kepentingan membina karya yang mempunyai nilai dokumentasi masyarakat serta peranan penulis sebagai agen pembentukan pemikiran dan peradaban bangsa.

Perbincangan yang berlangsung dalam suasana ilmiah itu turut memperlihatkan kesungguhan Akademi Sanggar Nurimas dalam menyediakan platform berterusan kepada ahlinya untuk berkongsi pengalaman, memperhalusi teknik penulisan serta memperkukuhkan jaringan dalam kalangan komuniti sastera tanah air.
Majlis pelancaran rasmi pada sebelah petang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim, yang menyifatkan penganjuran program seperti itu sebagai antara inisiatif penting dalam memastikan budaya membaca dan menulis terus berkembang, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menegaskan, penerbitan karya kreatif bukan sahaja memperkayakan khazanah persuratan Melayu, malah berperanan merakam sejarah, pengalaman hidup, budaya dan pemikiran masyarakat yang menjadi warisan kepada generasi akan datang.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi Sanggar Nurimas Enterprise (SNE), diikuti bacaan doa oleh Prof. Dr. Azman Che Mat, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, persembahan pembukaan serta ucapan peneraju utama Sanggar Nurimas Enterprise dan Akademi Sanggar Nurimas.

Dalam ucapan tersebut, perjalanan ASN sejak penubuhannya diimbas sebagai sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat penulis baharu menerusi latihan, bengkel, kelas penulisan, penerbitan antologi dan karya solo, selain menjadi medan mempertemukan penulis dari pelbagai latar belakang.
Kemuncak acara menyaksikan Dr. Hafidzah menyempurnakan gimik pelancaran buku-buku terbitan terkini sebelum para tetamu menyaksikan tayangan montaj perjalanan ASN yang memaparkan pelbagai pencapaian organisasi itu dalam melahirkan penulis, menerbitkan karya serta menganjurkan pelbagai aktiviti kesusasteraan sepanjang penubuhannya.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian pelbagai anugerah kepada penulis dan alumni yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menghasilkan karya bermutu sepanjang tahun.
Bagi kategori antologi “Belasungkawa Buat UPSI”, Noorlaila Ghaffar menerima Anugerah Penukil Komited, manakala Noridah Shaari dipilih sebagai Penulis Berpotensi, Hanna Sophia Hanafi pula menerima Anugerah Nukilan Terkesan, sementara Anuar Salleh diumumkan sebagai Penulis Terbaik.
Dalam kategori antologi “Memorabilia Seri Malaysia”, Nor Azah Zahuddin menerima Anugerah Penukil Komited, Siti Anidza Muhammad dipilih sebagai Penulis Berpotensi, Shahrun Nizam Sahir menerima Anugerah Nukilan Terkesan, manakala Sarimah Abu Bakar dinobatkan sebagai Penulis Terbaik.

Bagi antologi “Kenangan Yang Terkesan”, Norina Mohd Nor menerima Anugerah Penukil Komited, Murley Giman dipilih sebagai Penulis Berpotensi, Jamilah Rejab menerima Anugerah Nukilan Terkesan, sementara Noraini Omar diumumkan sebagai Penulis Terbaik.
Turut menerima penghargaan ialah Paridah Ishak menerusi karya solo “Percutian Amira / Ceritera Cinta Tujuh Puteri”, Nurimas SN melalui novel “Abang Din Topi Biru”, serta Nazim Mohd Subari menerusi karya “Rahsia Sahabat”, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memperkayakan penerbitan kreatif tempatan.
Bagi kategori pembangunan bakat, Melor Nur Ain Idris diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kelas Rekayasa Menulis Cerpen, sekali gus membuktikan keberkesanan modul latihan ASN dalam melahirkan penulis pelapis yang berpotensi menyumbang kepada perkembangan sastera negara.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Utama Akademi Sanggar Nurimas, yang menjadi simbol penghargaan tertinggi kepada individu yang menunjukkan dedikasi, konsistensi dan pencapaian cemerlang dalam dunia penulisan.
Muhammad Syukri Abu Samad diumumkan sebagai penerima Ikon Topi SNE, manakala Sharifah Nasrul Hasni Syed Hasan menerima Ikon Tinta Emas.
Haryatul Yusri Md. Yusop pula dipilih sebagai Ikon Penukil Konsisten atas komitmen berterusan menghasilkan karya, sementara Jaime Kangoi menerima pengiktirafan sebagai Ikon Penulis Kersani.
Selain pelancaran buku dan penyampaian anugerah, program turut diserikan dengan persembahan monodrama yang mengangkat elemen sastera pentas, persembahan daripada artis jemputan dan alumni ASN serta acara cabutan bertuah yang menambah kemeriahan majlis sebelum program melabuhkan tirainya sekitar jam 4.30 petang.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran PBAA 5.0, khususnya Dr. Hafidzah atas kesudian menyempurnakan majlis; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Ariza Che Ismail; Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari, Cikgu Jamly Bahrulddin, seluruh jawatankuasa pelaksana, para penyumbang, rakan strategik serta semua peserta yang hadir memberikan sokongan.
Penganjuran PBAA 5.0 dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan Akademi Sanggar Nurimas dalam memperkukuhkan landskap kesusasteraan Melayu melalui penerbitan karya baharu, pembinaan kapasiti penulis, penganjuran wacana ilmiah serta pengiktirafan kepada mereka yang konsisten menyumbang kepada dunia persuratan.
Dalam suasana industri buku yang semakin mencabar, program seperti ini bukan sahaja menjadi medan meraikan kejayaan penulis, malah berfungsi sebagai platform memperkukuhkan jaringan antara penulis, penerbit, akademia dan masyarakat pembaca.
Lebih penting, ia membuktikan karya sastera masih mempunyai ruang yang signifikan dalam membentuk pemikiran, merakam sejarah masyarakat dan memperkaya khazanah budaya negara.
PBAA 5.0 sekali lagi memperlihatkan usaha membangunkan dunia sastera tidak hanya bergantung kepada penerbitan buku semata-mata, sebaliknya memerlukan kesinambungan latihan, apresiasi, penghargaan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan kesusasteraan Melayu terus subur, relevan dan mampu melahirkan lebih ramai penulis yang berkualiti serta berdaya saing pada masa hadapan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L