Konflik Asia Barat: Iran perluas serangan ke Negara Teluk, isytihar Selat Hormuz ditutup semula

DUBAI – Amerika Syarikat (AS) dan Iran sekali lagi terlibat dalam pertukaran serangan peluru berpandu dan dron secara besar-besaran apabila Tehran melancarkan serangan ke atas kemudahan AS di beberapa negara Teluk pada Ahad, selain mendakwa telah menutup semula laluan strategik Selat Hormuz.

Gelombang serangan terbaharu itu merupakan kesinambungan siri tindakan balas antara kedua-dua pihak ketika Iran berusaha memperkukuh kawalan terhadap pelayaran di selat yang menjadi nadi perdagangan tenaga dunia itu.

Namun, serangan kali ini menunjukkan peningkatan ketara dari segi kekerapan dan skala operasi.

Serangan Iran kini turut melibatkan Qatar, yang sebelum ini bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan gencatan senjata dan tidak pernah disasarkan sejak April lalu. 

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula memaklumkan, sistem pertahanannya berjaya memintas peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran.

Media Iran melaporkan beberapa serangan peluru berpandu dan letupan berlaku berhampiran pelabuhan Bandar Abbas yang menempatkan kemudahan ketenteraan utama di Selat Hormuz, serta Pulau Qeshm yang terletak berdekatan. 

Dalam masa sama, AS dilaporkan melancarkan satu lagi siri serangan manakala Iran turut menyasarkan Kuwait.

Keganasan yang kembali memuncak itu menimbulkan keraguan terhadap masa depan perjanjian sementara AS-Iran yang dimeterai bulan lalu. 

Perjanjian tersebut bertujuan membuka semula Selat Hormuz serta menamatkan konflik selepas tempoh rundingan tambahan selama 60 hari.

Presiden AS, Donald Trump, dalam beberapa kenyataan sepanjang minggu lalu menyatakan beliau menganggap perjanjian gencatan senjata itu telah berakhir, namun masih membuka ruang untuk rundingan baharu.

Perang yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu telah menggugat kestabilan rantau Teluk, dengan beberapa negara yang menempatkan pangkalan tentera AS turut menjadi sasaran serangan Tehran.

Sekatan berkesan Iran ke atas Selat Hormuz pula telah mendorong kenaikan harga tenaga global, sekali gus menambah tekanan inflasi dunia.

Kenaikan harga bahan api, khususnya petrol, dilihat sebagai isu sensitif dari segi politik buat Trump menjelang pilihan raya Kongres AS pada November nanti.

Iran dilaporkan berusaha mewujudkan sistem kutipan bayaran kekal bagi kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan yang sebelum perang mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak serta gas asli cecair (LNG) dunia.

Tehran sebelum ini memberi amaran kepada semua kapal agar tidak menggunakan laluan tersebut tanpa kebenaran pihak berkuasa Iran.

Pada Sabtu, Iran mengumumkan penutupan selat itu selepas melepaskan tembakan amaran yang mengenai sebuah kapal yang didakwa menggunakan laluan tidak dibenarkan. 

Pada Ahad, Tehran mendakwa, sebuah lagi kapal telah dilumpuhkan.

India memaklumkan, seorang rakyatnya dilaporkan hilang susulan serangan ke atas kapal kontena GFS Galaxy di pesisir Oman. 

Pihak berkuasa Oman pula mengesahkan 23 anak kapal berjaya diselamatkan.

Kerajaan Qatar mengarahkan semua jenis kapal termasuk bot rekreasi, bot nelayan dan jet ski menghentikan operasi sementara waktu.

Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi yang baru ditubuhkan Iran turut memaklumkan bahawa laluan di Selat Hormuz tidak boleh digunakan buat masa ini berikutan “pergerakan haram terbaru tentera AS di rantau berkenaan”.

Menurut agensi itu, permit pelayaran hanya akan dikeluarkan semula selepas keadaan kembali stabil dan selamat.

Washington yang sebelum ini membatalkan lesen penjualan minyak mentah Iran susulan beberapa insiden serangan ke atas kapal dagang menegaskan bahawa tenteranya kekal bersiap siaga untuk memastikan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.

AS menuduh Iran melakukan tindakan agresif, ugutan dan gangguan terhadap laluan maritim.

“Iran tidak mengawal selat itu. Pergerakan kapal masih berjalan,” menurut kenyataan pihak berkuasa AS.

Pusat Maklumat Maritim Bersama yang diterajui Tentera Laut AS turut menegaskan bahawa laluan alternatif di bahagian selatan berhampiran Oman masih boleh digunakan untuk trafik dua hala walaupun tahap ancaman keselamatan kini berada pada paras tinggi.

Pada Sabtu, Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan, tenteranya telah menyerang 140 sasaran ketenteraan Iran, menjadikan lebih 300 sasaran diserang dalam tempoh tiga malam minggu ini bagi mengurangkan keupayaan Iran menyerang kapal dagang dan pelaut awam yang menggunakan Selat Hormuz.

Media kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar-bandar pelabuhan utama negara itu, selain mengesahkan seorang pegawai tentera Iran terbunuh.

Sebagai tindak balas, Pengawal Revolusi Iran mendakwa berjaya memusnahkan pusat kawalan operasi dan hangar dron di Jordan, menyerang tapak radar AS serta sistem pelancar roket di Kuwait, selain menyasarkan platform sokongan kapal induk dan kemudahan pengisian bahan api tentera AS di Oman.

Iran turut mendakwa telah memusnahkan sebuah pusat penyelenggaraan pesawat serta kemudahan kawalan ketenteraan di Qatar.

Qatar memaklumkan, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak cedera akibat serpihan letupan yang jatuh susulan serangan Iran. 

Doha menegaskan, Tehran bertanggungjawab sepenuhnya dari sudut undang-undang terhadap insiden berkenaan.

UAE pula mengesahkan pengesanan ancaman peluru berpandu di luar wilayahnya, manakala Bahrain memaklumkan telah memintas beberapa serangan udara Iran. Jordan melaporkan serangan peluru berpandu manakala Oman mendakwa disasarkan dengan dron.

Tentera Kuwait kemudian melaporkan kerosakan akibat serangan, termasuk kecederaan terhadap seorang pekerja di platform penggerudian minyak.

Oman turut memanggil duta Iran bagi mengemukakan bantahan rasmi berhubung serangan dron di dua wilayah negara itu. 

Kedutaan AS di Oman pula mengarahkan rakyat Amerika yang berada di Duqm dan Musandam supaya berlindung di lokasi masing-masing.

Perkembangan terbaru itu berlaku selepas pertemuan antara Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dan Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi di Muscat pada Sabtu.

Iran memaklumkan, perbincangan tersebut bertujuan menyelaras pengaturan berkaitan Selat Hormuz dan dijangka diteruskan dengan penyertaan Qatar.

Araqchi turut mengadakan perbualan telefon dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar yang sebelum ini memainkan peranan penting sebagai perantara antara Washington dan Tehran.

Sementara itu, ketua perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, menerusi hantaran di platform X memberi amaran tegas kepada pihak lawan.

“Era perjanjian berat sebelah sudah berakhir. Kami sudah beri amaran: tunaikan janji anda atau tanggung akibatnya. Realiti kini sedang mengetuk pintu,” katanya. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *