Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Kesabaran seorang ibu yang hampir tujuh bulan berulang-alik ke kedai dobi akhirnya berakhir apabila anaknya, Ahmad Saiful Islam Ahmad Sukiman, 13, memenangi hadiah utama berupa sebuah mesin basuh menerusi cabutan bertuah sempena Program Bina Ummah Zon 2 yang berlangsung di Sekolah Rendah Ugama (Arab) SRU (A) Tarbiah Islamiah Lubok Gong, dekat sini.
Kemenangan itu membawa kegembiraan buat ibunya, Rabisanti Mokhtar dari Kampung Tasek Permai yang sebelum ini terpaksa menggunakan perkhidmatan dobi selepas mesin basuh di rumah rosak akibat ditenggelami banjir.
Menurut Rabisanti, hampir tujuh bulan beliau berulang-alik ke sebuah kedai dobi di Rantau Panjang untuk mencuci pakaian keluarga, sekali gus menambah perbelanjaan harian.
“Alhamdulillah, saya benar-benar tidak menyangka nama anak saya dipilih. Mesin basuh ini sangat kami perlukan kerana sejak banjir melanda, mesin basuh di rumah sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

“Hari ini Allah mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Benarlah, rezeki memang tidak pernah salah alamat,” katanya dengan penuh syukur.
Program Bina Ummah yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari berjaya menghimpunkan masyarakat setempat menerusi pelbagai pengisian bermanfaat dan aktiviti kekeluargaan.
Antara tarikan utama ialah acara sukaneka yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak, remaja, golongan dewasa serta warga emas, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
Pengunjung turut berpeluang mengunjungi pameran dan reruai pelbagai agensi kerajaan serta syarikat swasta, termasuk pemeriksaan dan pameran kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Andalusia Travel, Kelantan Gold Trade Center Sdn. Bhd. dan Unifi yang menyediakan pelbagai maklumat serta perkhidmatan kepada orang ramai.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad. Turut hadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Di sebalik kemeriahan program itu, kisah Rabisanti menjadi antara detik paling menyentuh hati. Sebuah mesin basuh yang mungkin dianggap biasa oleh sesetengah pihak, namun bagi keluarganya, ia adalah hadiah yang mengakhiri penantian hampir tujuh bulan dan menjadi bukti bahawa setiap kesabaran pasti ada ganjarannya.
Seperti yang diungkapkan Rabisanti dengan penuh rasa syukur, “Rezeki memang tidak pernah salah alamat.”
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L