KUALA LUMPUR – Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) secara rasminya mengambil langkah berani menembusi “Lembah Silikon Timur” dengan menyelesaikan pengambilalihan hartanah perindustrian ringan pertamanya.
Hektar Asset Management berkata, pengambilalihan aset strategik di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang pada harga RM30 juta.
Nilai transaksi berkenaan disifatkan sangat menguntungkan kerana ia diselesaikan pada kadar diskaun 9.1 peratus berbanding nilai pasaran hartanah yang dinilai secara bebas.
Kemasukan strategik ke dalam sektor hartanah perindustrian berkenaan menandakan peralihan syarikat untuk mengukuhkan kepelbagaian portfolio dan menyokong operasi rantaian bekalan kritikal pengeluaran semikonduktor.
Melalui struktur pajakan bersih tiga kali ganda untuk perjanjian tempoh 15 tahun, pemerolehan ini memberikan hasil awal yang menarik sebanyak 7.5 peratus kepada Hektar REIT.
“Struktur ini menyediakan Hektar REIT dengan pendapatan langsung dan pasif sepanjang tempoh pajakan penuh dengan beban operasi yang minimum,” kata Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar Ismail, merujuk kepada terma yang menetapkan penyewa menanggung perbelanjaan cukai, insurans dan penyelenggaraan.
Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas telah lama diiktiraf di peringkat global sebagai asas ekosistem pembuatan elektronik dan semikonduktor Asia, menjadikannya lokasi pelaburan dengan potensi peningkatan modal yang kukuh.
Aset perindustrian ringan berkenaan dilengkapi pelbagai ciri khusus, termasuk infrastruktur lanjutan yang direka untuk menampung bilik bersih, pembuatan ketepatan dan keperluan kuasa tinggi yang penting untuk operasi semikonduktor.
Selain lokasi yang berdekatan dengan rangkaian pengangkutan utama seperti Jambatan dan Pelabuhan Pulau Pinang, ruang berkenaan juga bersifat modular bagi membolehkan penyesuaian masa hadapan sejajar perkembangan teknologi.
Pengambilalihan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan portfolio Hektar REIT kepada lapan hartanah, merangkumi pusat beli-belah dan sebuah sekolah swasta dengan jumlah keseluruhan aset bernilai RM1.39 bilion.
Langkah pengimbangan semula portfolio bagi mengurangkan tumpuan pada sektor runcit ini turut disusuli dengan pengumuman cadangan pengambilalihan 90 peratus pegangan ekuiti Terramark Sdn. Bhd. di Chuping, Perlis untuk pembangunan ladang solar.
Dengan pengambilalihan berkenaan, Hektar REIT kini berada pada kedudukan yang amat baik untuk meneruskan pengembangan strategiknya ke dalam kelas aset bukan runcit demi memberikan pulangan mampan kepada pihak berkepentingan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L