LEDANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim menepis dakwaan kononnya jentera parti memboikot kempen beliau susulan keputusan BN tidak mencalonkan semula penyandang kerusi berkenaan, Khairin-Nisa Ismail @ Md On pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Iqa Rahim menegaskan dakwaan itu tidak berasas kerana hubungan beliau dengan Khairin-Nisa kekal baik, malah seluruh jentera parti di Bahagian Ledang terus bergerak seiring bagi memastikan kemenangan BN di DUN Serom.
Menurutnya, tiada sebarang pergeseran mahupun kem yang boleh menjejaskan gerak kerja parti sepanjang kempen berlangsung, sebaliknya semua pihak memberi komitmen untuk mempertahankan kerusi dimenangi BN pada pilihan raya lalu.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom. Alhamdulillah hubungan saya dengan Hajah Khairin sangat baik kerana kami berada dalam parti yang sama.
“Isu boikot langsung tidak timbul. BN Ledang berada dalam keadaan aman dan semua jentera bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui.
Kenyataan itu sekali gus menolak spekulasi yang mendakwa berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong selepas BN membuat keputusan menampilkan calon baharu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Pertandingan di DUN Serom menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan Nadhirah yang mewakili BN, Mahfidz Omar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Ahmad Nazari Abdul Hamid daripada Pakatan Harapan (PH).
Pada PRN lalu, BN menerusi Khairin-Nisa berjaya mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh kemenangan dengan majoriti 699 undi dalam saingan empat penjuru, menjadikan Serom antara kerusi yang dijangka terus menjadi tumpuan pada pilihan raya kali ini.
Mengulas hala tuju kempen, Nadhirah berkata fokus BN bukan sekadar mempertahankan kerusi, malah mahu memperoleh mandat lebih kukuh bagi memastikan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dapat meneruskan agenda pembangunan tanpa gangguan.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati Johor sejak beberapa tahun lalu perlu dikekalkan kerana ia memberi keyakinan kepada pelabur, mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta membolehkan pelbagai inisiatif untuk rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Serom supaya terus memberikan kepercayaan kepada BN bagi memperkukuhkan kedudukan kerajaan negeri dan memastikan kesinambungan dasar yang sedang dilaksanakan.
Nadhirah turut memberi jaminan akan membawa agenda pembangunan yang lebih menyeluruh sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Menurutnya, antara keutamaan yang dikenal pasti ialah menyediakan lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi untuk golongan muda, selaras dengan keperluan masyarakat setempat yang mahukan ruang riadah lebih selesa dan lengkap.
Beliau berkata, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati ramai belia menyuarakan harapan supaya kemudahan sukan di Serom dipertingkatkan bagi menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sihat selain mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan anak muda kerana mereka merupakan aset penting kepada masa depan kawasan ini. Ramai yang memohon supaya kemudahan sukan ditambah baik.
“Saya sudah meneliti beberapa lokasi yang sesuai untuk dinaik taraf atau dibangunkan dengan kemudahan baharu supaya anak-anak muda mempunyai lebih banyak pilihan untuk beriadah dan menjalankan aktiviti sukan,” katanya.
Selain agenda belia, beliau berkata usaha menaik taraf infrastruktur asas yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan agar penduduk di Serom terus menikmati kemudahan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
Beliau yakin sokongan padu jentera parti serta kerjasama semua peringkat kepimpinan BN akan menjadi pemangkin untuk mempertahankan DUN Serom, sekali gus menyumbang kepada usaha gabungan itu mengekalkan penguasaan di Johor pada PRN kali ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L