Pemain Mexico dipaksa pulangkan jam Rolex RM4.4 juta

MEXICO CITY – Barisan pemain skuad kebangsaan Mexico terpaksa memulangkan semula jam tangan mewah berjenama Rolex yang dianggarkan bernilai AS$1 juta (kira-kira RM4.45 juta) menjelang aksi kalah mati pusingan 16 terakhir menentang England, pagi esok.

Koleksi jam tangan mewah buatan Switzerland itu pada mulanya dihadiahkan oleh seorang personaliti YouTube terkenal dari Amerika Syarikat, Stephen Deleonardis.

Deleonardis, atau lebih dikenali sebagai ‘SteveWillDoIt’ dalam kalangan pengikut media sosialnya, dilaporkan bertaruh sebanyak AS$2 juta (RM8.9 juta) untuk kemenangan Mexico ke atas Ecuador pada perlawanan terdahulu.

Selepas berjaya memenangi pertaruhan terbabit, Deleonardis terus terbang ke Bandar Mexico bagi memberikan ganjaran berkenaan kepada ketua jurulatih, Javier Aguirre serta barisan pemainnya.

Skuad Mexico dilaporkan amat ‘terkejut dan teruja’ apabila setiap seorang daripada mereka menerima seutas jam tangan Rolex, malah mereka turut meraikannya dengan menjulang YouTuber terbabit.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka tidak berkekalan apabila Persekutuan Bola Sepak Mexico (FMF) mengarahkan semua hadiah itu dipulangkan semula bagi mengelakkan sebarang isu pelanggaran peraturan berkaitan pertaruhan.

“Atas persetujuan bersama, pemain-pemain kami memutuskan untuk memulangkan semula jam tangan yang dihadiahkan oleh pencipta kandungan terbabit atas inisiatifnya sendiri,” menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh FMF menerusi platform X.

Sementara itu, fokus perlawanan tumpuan menentang England di Stadium Azteca yang ikonik turut dicemari dengan kebimbangan mengenai perubahan waktu sepak mula berikutan amaran cuaca buruk.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada jam 6 petang waktu tempatan.

Badan induk bola sepak dunia, FIFA sebelum ini dilaporkan menimbang cadangan untuk mempercepatkan waktu perlawanan ke waktu tengah hari berikutan ramalan ribut petir yang teruk di kawasan sekitar.

Bagaimanapun, FIFA kemudiannya membuat keputusan mengejut untuk mengekalkan jadual asal perlawanan, meskipun laporan kaji cuaca tempatan menunjukkan terdapat 80 peratus risiko ribut petir yang boleh menyebabkan perlawanan tertangguh.

Mengikut undang-undang keselamatan kejohanan, sekiranya terdapat sebarang pancaran petir yang dikesan dalam radius kira-kira 13 kilometer dari stadium, perlawanan akan ditangguhkan secara automatik selama 30 minit demi keselamatan pemain dan penonton. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *