Oleh NurFarhana Zulkeply
SEREMBAN – Perdana Menteri hari ini melancarkan inisiatif BAKAT MADANI di Sendayan, Negeri Sembilan sebagai usaha nasional untuk memperkasa pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran belia dan memperluaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Program yang digerakkan menerusi kerjasama strategik melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta PETRONAS itu disasarkan memberi manfaat kepada 25,000 anak muda dan penerima manfaat lain sepanjang tempoh 2026 hingga 2027.
Menurut Perdana Menteri, BAKAT MADANI bukan sekadar menyediakan ruang latihan dan pekerjaan, tetapi menjadi platform bagi memastikan setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang yang saksama untuk mengembangkan potensi diri dan membina masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata kerajaan menyedari tidak semua individu bermula daripada titik permulaan yang sama, justeru usaha memperluas akses kepada pendidikan, latihan serta pembangunan bakat perlu terus diperkasakan agar tiada golongan yang tercicir daripada arus kemajuan negara.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui peningkatan kemahiran, latihan berkualiti serta penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada generasi muda.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan BAKAT MADANI.
Beliau berharap program tersebut mampu menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara pada masa hadapan.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001