Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon atau Ah Soon, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang didakwa mengaitkan Institusi Diraja Johor dengan pembubaran Dewan Negeri Johor.
Ah Soon berkata, dakwaan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Negeri dibuat atas “arahan” pihak istana adalah tidak berasas dan telah dinafikan secara terbuka oleh Menteri Besar.
“Saya percaya dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap Institusi Diraja Johor serta mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Menurut beliau, pembubaran Dewan Negeri Johor dilaksanakan mengikut proses diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri Johor, termasuk mendapatkan perkenan daripada DYAM Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Onn Hafiz.
“Perkenan tersebut merupakan proses yang ditetapkan oleh undang-undang negeri dan tidak boleh ditafsirkan sebagai arahan atau campur tangan politik oleh Institusi Diraja,” tegasnya.
Sehubungan itu, Ah Soon meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat bagi memastikan fakta sebenar dapat diperjelaskan dan integriti Institusi Diraja terus dipelihara.
“Saya memohon agar pihak PDRM menyiasat perkara ini kerana dakwaan sedemikian adalah serius dan boleh menjejaskan imej Institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negeri,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001