JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dapat bersabar dalam menghadapi perkembangan berkaitan pemilihan calon menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Ahmad, beliau menghormati Puad sebagai sahabat lama dan rakan seperjuangan yang telah banyak menyumbang kepada parti serta agenda pendidikan Bumiputera.
“Dr Puad Zarkashi adalah kenalan lama saya. Saya sangat menghormati beliau sebagai rakan seperjuangan. Dalam Mesyuarat MKT, beliau sentiasa aktif memberikan pandangan dan saya juga begitu.
“Beliau juga merupakan penggerak kepada Kongres Pendidikan Bumiputera yang berlangsung baru-baru ini dan saya mengucapkan tahniah atas usaha tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Iklan

Mengulas pandangan terkini yang disuarakan Puad berhubung calon PRN Johor, Ahmad berkata, setiap pemimpin perlu melihat perjalanan politik dalam perspektif yang lebih panjang.
“Saya berharap beliau bersabar. Ini adalah antara cabaran dalam perjuangan politik. Dr Puad tentunya memahami politik bukan larian 100 meter, tetapi larian marathon yang panjang,” katanya.
Ahmad turut berkongsi pengalaman peribadinya yang hanya diberi peluang menjadi calon Parlimen Pontian pada usia 42 tahun selepas lebih dua dekad terlibat pelbagai peranan dalam parti dan kerajaan.
Katanya, sebelum menjadi calon pilihan raya, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu serta Pengarah Seranta FELDA di Jabatan Perdana Menteri.
“Saya memulakan perjuangan politik sejak berusia 20 tahun ketika menjadi Pengerusi Kelab UMNO di Victoria University, Wellington, New Zealand. Selepas 22 tahun setia dan gigih berjuang, barulah saya diberi peluang menjadi calon.
“Sebab itu saya memahami politik adalah satu larian marathon. Menariknya, jarak marathon ialah 42.2 kilometer, hampir sama dengan umur saya ketika menjadi calon pada usia 42 tahun,” katanya.
Ahmad berkata, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kejayaan dalam politik memerlukan kesabaran, ketabahan dan kesetiaan berterusan kepada perjuangan parti.
Beliau pada masa sama menyifatkan Puad sebagai pemimpin berpengalaman yang masih mempunyai peranan penting dalam memperkukuh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Dr Puad adalah sahabat saya. Saya yakin beliau akan membuat keputusan yang terbaik demi perjuangan ABATA iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad menyeru seluruh jentera parti supaya terus memberi tumpuan kepada usaha memenangkan calon BN pada PRN Johor 11 Julai ini.
“Ayuh, kita turun berkempen dan membantu calon-calon BN. Apa yang lebih penting ialah memastikan parti terus kuat dan mendapat mandat rakyat,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L