AMANAH Pertahan Pencalonan Sharon Teo, Seru Ahli Pasir Gudang Fokus Menang DUN Permas

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertahankan keputusan mencalonkan Sharon Teo sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Permas, sambil menegaskan pemilihannya dibuat menerusi proses penilaian yang teliti di peringkat kepimpinan nasional parti.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti mengambil maklum sidang media yang diadakan beberapa pemimpin AMANAH Kawasan Pasir Gudang hari ini yang menyuarakan bantahan terhadap pencalonan Sharon Teo bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, pencalonan itu telah diputuskan selepas melalui beberapa peringkat tapisan dan perbincangan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

Iklan

“AMANAH menegaskan pencalonan Sharon Teo dibuat dengan penuh teliti oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional setelah melalui beberapa proses tapisan dan mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan.

Faiz turut menolak dakwaan Sharon merupakan calon “payung terjun”, sebaliknya menjelaskan beliau telah aktif bersama parti itu sejak 2018 dan pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha AMANAH Johor bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Beliau berkata, Sharon kemudiannya dilantik sebagai Ketua Wanita Muda (Warda) AMANAH Johor sejak 2023, sekali gus membuktikan penglibatan berterusan beliau dalam parti.

“AMANAH yakin dengan kemampuan Sharon Teo sebagai calon DUN Permas. Beliau merupakan anak jati Johor dan pencalonannya mencerminkan komitmen parti untuk mengangkat suara golongan muda serta wanita dalam politik negara,” katanya.

Dalam masa sama, Faiz menyeru kepimpinan dan anggota AMANAH Pasir Gudang agar mengetepikan perbezaan pandangan serta memperkukuhkan kesatuan parti menjelang pilihan raya.

Beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Permas dan menyumbang kepada usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“AMANAH menasihati Amanah Kawasan untuk merapatkan saf dan memberikan tumpuan membantu jentera parti bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Permas.

“Kemenangan ini bukan untuk individu semata-mata, tetapi bagi memastikan AMANAH dapat menyumbang satu kerusi kepada Pakatan Harapan dalam usaha membentuk kerajaan baharu di Johor,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *