Oleh Siti Khadijah Manudin
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadi sasaran kritikan dan sindiran selepas menyalahkan “vandalisme” sebagai punca masalah yang melanda projek naik taraf kolam pantulan ikonik di hadapan Lincoln Memorial Reflecting Pool.
Kontroversi itu tercetus apabila kolam yang baru menjalani kerja pengubahsuaian bernilai lebih AS$14 juta dilaporkan mengalami pertumbuhan alga berlebihan sehingga air bertukar hijau, selain masalah cat dasar yang mengelupas hanya beberapa minggu selepas projek siap.
Trump mendakwa kerosakan tersebut berpunca daripada tindakan vandalisme, termasuk penggunaan bahan kimia yang didakwa merosakkan permukaan kolam yang baru dipasang.
Beliau turut mendakwa beberapa individu telah ditahan berhubung insiden berkenaan. Namun, beliau tidak mengemukakan bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut.
Penjelasan itu bagaimanapun mengundang reaksi sinis daripada pengkritik dan pengguna media sosial yang berpendapat masalah tersebut lebih berkait dengan pelaksanaan projek dan isu penyelenggaraan berbanding perbuatan sabotaj.
Beberapa pengulas turut mempersoalkan keputusan menukar dasar kolam kepada warna “American flag blue”, yang dikatakan mungkin menyumbang kepada masalah alga dan pengelupasan permukaan.
Walaupun begitu, pihak berkuasa mengesahkan terdapat beberapa laporan vandalisme dan tangkapan berkaitan kawasan kolam berkenaan. Kerja-kerja pembaikan tambahan dijangka dimulakan segera bagi memulihkan keadaan kolam tersebut.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L