Mengapa Naratif Autonomi Semakin Dominan dalam Wacana Politik Sarawak?

Oleh: Dr. Hafizan Mohamad Naim

DUA puluh tahun lalu, sukar untuk membayangkan isu autonomi menjadi antara topik perbualan harian rakyat Sarawak. Ketika itu, politik negeri lebih banyak dikaitkan dengan persoalan pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih, sekolah, klinik dan peluang ekonomi.

Namun, hari ini hampir setiap isu penting di Sarawak, baik isu pendidikan dan kesihatan sehingga minyak, gas, tenaga dan perkhidmatan awam dibincangkan dalam konteks autonomi Sarawak.

Perubahan ini menunjukkan bahawa wacana politik Sarawak sedang melalui satu peralihan penting. Autonomi bukan lagi sekadar slogan politik atau tuntutan kelompok tertentu.

Ia semakin menjadi bahasa politik arus perdana yang digunakan oleh pemimpin, media, masyarakat sivil dan rakyat biasa untuk memahami kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Istilah seperti “hak Sarawak”, “MA63”, “kuasa negeri”, “Borneonisasi” dan “autonomi” kini semakin kerap muncul dalam perbincangan awam terutamanya di Sarawak.

Ia bukan sahaja dibicarakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau forum akademik, tetapi juga dalam media sosial, perbualan harian dan wacana masyarakat. Persoalannya, mengapa naratif autonomi semakin dominan dalam politik Sarawak pada hari ini?

Salah satu faktor utama ialah kematangan politik masyarakat Sarawak. Dalam dekad-dekad awal selepas pembentukan Malaysia, keutamaan rakyat banyak tertumpu kepada pembangunan fizikal.

Hal ini dapat difahami kerana Sarawak mempunyai cabaran geografi yang besar, penempatan yang berselerak dan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

Iklan

Namun, apabila masyarakat semakin terdedah kepada pendidikan, maklumat dan pengalaman pembangunan, tuntutan politik turut berubah. Rakyat tidak lagi hanya bertanya mengenai apa pembangunan yang diperlukan, tetapi rakyat sudah mula bertanya siapa yang mempunyai kuasa menentukan bentuk pembangunan tersebut.

Dalam konteks ini, autonomi dilihat sebagai mekanisme untuk memastikan keputusan penting dibuat dengan lebih dekat kepada realiti tempatan di Sarawak.

Faktor kedua ialah kedudukan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 sebagai kerangka utama wacana politik Sarawak. MA63 tidak lagi dilihat semata-mata sebagai dokumen sejarah pembentukan Malaysia.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai rujukan politik dan moral dalam membincangkan hubungan antara Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan. Banyak isu semasa kini dirangka melalui lensa MA63.

Apabila isu pendidikan dibincangkan, persoalan yang timbul ialah sejauh mana negeri boleh terlibat dalam menentukan keperluan pendidikan tempatan. Apabila isu kesihatan dibangkitkan, persoalan yang muncul ialah bagaimana perkhidmatan kesihatan boleh disesuaikan dengan realiti kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak.

Begitu juga dalam isu minyak, gas, tenaga, imigresen dan perkhidmatan awam. Dalam erti kata lain, MA63 telah menjadi satu kerangka besar yang menghubungkan pelbagai isu di bawah naratif yang sama, iaitu hak dan kedudukan Sarawak dalam Malaysia.

Inilah yang menjadikan autonomi semakin kuat sebagai wacana politik Sarawak. Ia tidak berdiri sebagai isu tunggal, tetapi hadir dalam pelbagai sisi kehidupan rakyat Sarawak.

Faktor ketiga ialah perkembangan berkaitan pengurusan sumber dan ekonomi negeri. Isu minyak, gas dan tenaga sering menjadi simbol kepada keupayaan Sarawak untuk menentukan masa depan ekonominya sendiri.

Perbincangan mengenai sumber asli bukan tertumpu kepada persoalan hasil atau pendapatan negeri semata-mata, tetapi turut melibatkan persoalan kuasa membuat keputusan, peranan institusi negeri dan keupayaan mengurus kepentingan ekonomi negeri.

Apabila rakyat melihat negeri mempunyai kapasiti untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam sektor strategik, naratif autonomi menjadi semakin meyakinkan.

Ia memberi gambaran bahawa autonomi bukan sekadar tuntutan berbentuk emosi, tetapi ia berkait dengan keupayaan pentadbiran, perancangan ekonomi dan pembangunan jangka panjang negeri. Faktor keempat ialah pengukuhan identiti Sarawak.

Sarawak sememangnya kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, identiti sebagai “orang Sarawak” semakin menonjol dalam wacana awam.

Identiti ini tidak menggantikan identiti etnik, tetapi menjadi lapisan tambahan yang menyatukan masyarakat dalam satu kesedaran wilayah. Kesedaran identiti sebagai orang Sarawak penting kerana ia memberi asas emosi dan politik kepada tuntutan autonomi.

Apabila rakyat Sarawak merasakan bahawa Sarawak mempunyai sejarah, budaya, pengalaman pembangunan dan kepentingan tersendiri, maka keinginan untuk melihat negeri mempunyai lebih banyak ruang membuat keputusan juga menjadi lebih kuat.

Dalam konteks kesedaran identiti ini, autonomi bukanlah dilihat sebagai alat pemisah Sarawak daripada Malaysia. Tetapi ia perlu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh struktur federalisme yang lebih seimbang, adil dan responsif terhadap kedudukan serta keperluan negeri dalam Persekutuan.

Usaha ini penting bagi memastikan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan dihormati dan diterjemahkan secara lebih berkesan dalam dasar awam. Faktor kelima ialah peranan media sosial. Perkembangan digital telah mengubah cara rakyat memahami politik.

Jika dahulu isu MA63 dan autonomi banyak dibincangkan oleh ahli politik, aktivis atau sarjana, hari ini isu tersebut boleh tersebar dengan pantas melalui Facebook, TikTok, YouTube dan pelbagai platform media sosial lain.

Media sosial menjadikan naratif autonomi mudah diakses. Rakyat mungkin tidak membaca dokumen sejarah secara mendalam, tetapi mereka terdedah kepada potongan video, infografik, perbahasan politik dan ulasan ringkas mengenai hak Sarawak.

Hal ini mempercepatkan penyebaran kesedaran politik, walaupun pada masa yang sama menuntut literasi maklumat yang lebih tinggi. Namun, peningkatan naratif autonomi juga perlu dilihat secara seimbang.

Tidak semua tuntutan boleh diselesaikan melalui slogan. Autonomi memerlukan kejelasan bidang kuasa, kemampuan institusi, sumber manusia, perancangan kewangan dan tadbir urus yang baik.

Tanpa perkara ini, autonomi boleh menjadi retorik yang kuat tetapi lemah dari segi pelaksanaan. Oleh itu, cabaran sebenar bukan lagi sekadar memperjuangkan autonomi, tetapi memastikan autonomi diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Jika lebih banyak kuasa diberikan kepada negeri, persoalan seterusnya ialah bagaimana kuasa itu digunakan untuk memperbaiki pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat.

Akhir sekali, naratif autonomi semakin dominan kerana ia berada pada persimpangan antara identiti, pembangunan dan kuasa politik. Ia menyentuh perasaan sebagai orang Sarawak, tetapi pada masa yang sama menyentuh isu praktikal tentang tadbir urus dan kesejahteraan rakyat.

Masa depan politik Sarawak dijangka akan terus dipengaruhi oleh persoalan ini. Selagi isu hak, pembangunan, sumber dan representasi kekal relevan, autonomi akan terus menjadi antara tema utama dalam wacana politik negeri.

Yang penting, perbincangan mengenainya perlu kekal matang, berasaskan fakta dan berorientasikan kepentingan rakyat. Autonomi, pada akhirnya, bukanlah sekadar perbincangan tentang siapa mempunyai kuasa.

Ia merupakan perbincangan tentang bagaimana kuasa itu digunakan untuk membina masa depan Sarawak yang lebih adil, seimbang dan bermakna dalam kerangka Malaysia.

Dr Hafizan Mohamad Naim Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sarawak

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *