Kerajaan Selangor terus pantau isu penempatan Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau

Oleh Siti Khadijah Manudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan terus memantau perkembangan isu pembinaan penempatan Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, tindakan dan penguatkuasaan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran di kawasan berkenaan bukanlah perkara baharu kerana pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan sejak 2016.

Menurut beliau, tindakan yang diambil termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta penguatkuasaan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Imigresen Malaysia serta operasi perobohan.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan akan terus memantau situasi semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada fakta serta kenyataan rasmi pihak berkuasa dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan yang disebarkan di media sosial.

Isu penempatan Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau menjadi perhatian selepas beberapa hantaran berkaitan kawasan berkenaan tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *