Rosmah bebas 12 kes ubah wang haram lebih RM7 juta, lima kes LHDN

Mahkamah Tinggi Benarkan Tuntutan Global Royalty, Rosmah Diperintah Bayar RM67.5 Juta

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan Datin Seri Rosmah Mansor bertanggungjawab terhadap kegagalan memulangkan 43 barangan kemas milik syarikat berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL, sekali gus mengarahkannya membayar ganti rugi berjumlah RM67.5 juta kepada syarikat berkenaan.

Hakim Datuk Quay Chew Soon dalam penghakimannya memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Rosmah berdasarkan imbangan kebarangkalian, selain berhak menerima ganti rugi yang dituntut berhubung kehilangan koleksi barang kemas mewah tersebut.

Dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian, mahkamah turut mendapati terdapat unsur kecuaian di pihak Rosmah kerana gagal memastikan kesemua barang kemas yang diterima dipulangkan kepada pemilik asalnya.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Rosmah menjelaskan bayaran RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Selain ganti rugi berkenaan, mahkamah turut mengarahkan beliau membayar kos guaman berjumlah RM150,000, dengan RM75,000 diberikan kepada plaintif, manakala baki RM75,000 kepada pihak ketiga yang terlibat dalam prosiding tersebut.

Tuntutan sivil itu berpunca daripada dakwaan 44 barangan kemas mewah yang dihantar kepada Rosmah untuk tujuan tontonan dan penilaian tidak dipulangkan kepada syarikat berkenaan selepas tempoh yang dipersetujui.

Pada Mac 2023, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau memberikan gambaran kesemua barang kemas tersebut telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia mengikut peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Barangan yang menjadi subjek pertikaian merangkumi pelbagai aksesori mewah termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang serta sebuah tiara.

Bagaimanapun, syarikat yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada 44 barangan kemas berkenaan berada dalam simpanan pihak berkuasa, manakala baki 43 lagi tidak pernah berada di bawah kawalan polis.

Menurut plaintif, keadaan itu menunjukkan kehilangan barang kemas terbabit tidak boleh dikaitkan dengan tindakan pihak berkuasa seperti yang didakwa oleh Rosmah.

Plaintif turut berhujah cubaan meletakkan tanggungjawab kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia tidak berasas memandangkan barangan terbabit didakwa hilang sebelum ia berada dalam kawalan pihak berkuasa.

Dalam prosiding sama, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai pihak ketiga susulan dakwaan barang kemas berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan operasi penguatkuasaan yang dijalankan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Rosmah pula mengekalkan pembelaannya yang beliau tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barangan kemas tersebut kerana mendakwa kesemuanya hilang selepas beberapa siri serbuan polis di Pavilion Residences pada Mei 2018 ketika siasatan berkaitan skandal 1MDB dijalankan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *