‘Tok Abah’ akhiri tugas Ketua Pengarah J-KOM, bakal galas amanah baharu

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop hari ini, mengumumkan penamatan tugasnya selepas lebih setahun menerajui jabatan itu dan memaklumkan bakal menggalas amanah baharu selepas ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ismail yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Abah” berkata, setiap perjalanan hidup mempunyai titik pertemuan dan perpisahan, manakala setiap pengakhiran membuka ruang kepada permulaan yang baharu.

“Hari ini adalah hari terakhir saya berkhidmat sebagai Ketua Pengarah J-KOM. Insya-Allah, saya akan menggalas amanah baharu, di tempat baharu demi agama, bangsa dan negara dengan semangat serta iltizam yang sama,” katanya.

Ismail yang juga bekas Timbalan Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dilantik ke jawatan itu pada 15 Jan tahun lepas bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Dr. Mohd Khairuddin Othman yang ditamatkan perkhidmatannya pada September 2023.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM bermula 1 Mac 2023 bagi menggantikan Prof Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof.

Ismail berkata, peluang memimpin J-KOM adalah satu pengalaman bermakna sepanjang perkhidmatannya bersama warga jabatan itu dan melahirkan rasa syukur atas pencapaian yang dilakar sejak Januari 2025 hingga kini. 

“Sekiranya ada yang boleh diterima sebagai kejayaan, ini bukanlah hasil usaha individu, tetapi lahir daripada semangat kerja berpasukan, kesetiaan dan komitmen seluruh warga J-KOM,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan itu, rakan strategik, pemimpin masyarakat serta semua pihak yang memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang menggalas amanah itu.

“Saya juga memohon maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang tempoh perkhidmatan serta mendoakan yang terbaik buat semua. Terima kasih atas segala kenangan, pengalaman dan persahabatan yang terjalin sepanjang perjalanan ini,” katanya.

J-KOM berperanan memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan di peringkat komuniti, selain fungsinya diperkemas bagi memperkukuh hubungan antara kaum melalui program dan aktiviti jabatan itu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *