ISKANDAR PUTERI – Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendapat restu Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu juga dibuat hasil maklum balas dan pandangan parti komponen serta kesemua 26 bahagian UMNO menerusi pertemuan pada 16 Mei.
“Semua bahagian termasuk parti komponen mengatakan Johor perlu bertanding solo di semua kerusi.
“Apabila saya berikan maklum balas kepada presiden, beliau beri kebenaran kita bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)… itu realiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata pembubaran DUN Johor pada 1 Jun, dengan tempoh hampir setahun sebelum tamat tempoh pentadbiran pada April tahun depan dibuat atas pelbagai faktor.
Antara perkara yang diambil kira ialah musim tengkujuh yang dijangka berlaku antara November ini hingga Januari tahun depan selain musim perayaan serta ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat.
Sehubungan dengan itu, Onn Hafiz berkata Johor memerlukan kerajaan yang terus kukuh dan stabil untuk memastikan negeri terus bergerak maju.
Terdahulu, Jentera BN Johor bagi PRN dilancarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Majlis dihadiri Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk Dr J Loga Bala Mohan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L