PM Arah KPT, KKM Segerakan Penyelesaian Isu Graduan PharmD Alexandria

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menyegerakan penyelesaian isu pengiktirafan profesional graduan program Doktor Farmasi (PharmD) dari Universiti Alexandria, Mesir susulan aduan yang dikemukakan oleh pelajar yang terkesan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikongsikan menerusi Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar mengarahkan KPT dan KKM supaya memberikan perhatian serius serta memuktamadkan penyelesaian isu berkenaan dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat.

“Perdana Menteri telah mengarahkan KPT dan KKM supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ketika ini tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program PharmD yang ditawarkan oleh Universiti Alexandria.

Bagaimanapun, bagi tujuan pendaftaran dan amalan profesional sebagai ahli farmasi di Malaysia, pengiktirafan tersebut masih memerlukan pertimbangan serta persetujuan daripada Lembaga Farmasi Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan mahu KPT dan KKM mencari penyelesaian menyeluruh yang dapat menjaga masa depan pelajar tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan dalam bidang farmasi.

Isu berkenaan sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan graduan PharmD Universiti Alexandria yang menuntut kepastian mengenai laluan kerjaya mereka sebagai ahli farmasi di Malaysia.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *