KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli yang baharu mengambil alih parti BERSAMA menegaskan, pelaksanaan kempen dan jelajah parti itu akan diteruskan seperti dirancang walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan 1 Jun lalu.
Menurut beliau, perancangan memperkenalkan gerakan BERSAMA ke seluruh negara telah dibuat lebih awal sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor, sekali gus menafikan sebarang kaitan langsung antara kempen tersebut dengan perkembangan politik semasa di negeri itu.
“Kebetulan negeri pertama yang menganjurkan jelajah ke negeri-negeri ialah Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi memaklumkan, siri “Jelajah Kancil” akan bermula di Johor pada Sabtu, 6 Jun 2026 di Danga Bay Convention Centre sebelum diteruskan ke Melaka pada keesokan harinya di Hotel Seri Malaysia, Melaka.
Jelajah itu kemudiannya akan diteruskan ke beberapa negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur sepanjang Jun hingga Julai.
Menurutnya, kempen BERSAMA bertujuan memperluaskan penerangan mengenai agenda gerakan tersebut kepada masyarakat di seluruh negara melalui siri pertemuan secara langsung dengan orang ramai.
Beliau turut menggesa orang ramai yang berminat menghadiri program berkenaan mendaftar lebih awal bagi memudahkan urusan logistik penganjur.
Selain kehadiran fizikal, sesi jelajah itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube dan TikTok miliknya bagi membolehkan penyertaan lebih meluas daripada rakyat di seluruh negara.
Rafizi berkata, beliau bersama rakan seperjuangannya, Nik Nazmi Nik Ahmad, akan hadir pada program pembukaan jelajah di Johor dan Melaka hujung minggu ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L