Ferdinand kini lebih kaya berbanding era United

LONDON – Rio Ferdinand mendedahkan beliau kini memperoleh pendapatan hampir dua kali ganda berbanding gajinya ketika bersama Manchester United selepas beralih dari bintang bola sepak kepada tokoh media dan perniagaan.

Ferdinand berkata demikian dalam audio siar The Long Play Podcast, yang dikendalikan oleh wartawan Jordan Macauley dan menampilkan tokoh sukan berkongsi kisah membina empayar masing-masing.

“Bila anda paling banyak membuat duit?” soal Macauley, yang dijawab Ferdinand: “Mungkin beberapa tahun kebelakangan ini.”

Sepanjang episod berdurasi satu setengah jam itu, kedua-duanya membincangkan perjalanan Ferdinand daripada bekas pertahanan tengah United yang memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian Alex Ferguson kepada personaliti media digital terkenal.

Menurut The Richest, nilai bersih Ferdinand kini dianggarkan sekitar £57 juta (RM303 juta), hasil gabungan karier bola sepak dan pelaburan selepas bersara merangkumi televisyen, kandungan digital, penajaan dan perniagaan.

Pendapatan itu jauh melebihi gaji kemuncaknya di United sekitar £115,000 (RM612,000) hingga £120,000 (RM639,000) seminggu atau £6 juta (RM32 juta) setahun antara 2008 hingga 2013 ketika beliau antara pemain bergaji tertinggi dunia.

Antara portfolio perniagaannya adalah Rio Ferdinand Presents, selain menjadi pelabur dalam New Era Global Sports Management serta aktif melalui yayasan kebajikan Rio Ferdinand Foundation.

Ferdinand turut bekerjasama dengan LEOS Developments, syarikat pembangunan hartanah mewah di Dubai, selain memiliki Football Escape yang berpangkalan di Dubai dan menawarkan pengalaman bola sepak eksklusif bersama keluarganya yang kini menetap di sana.

Pemilikan penuh Rio Ferdinand Presents membolehkan beliau mengawal sepenuhnya kandungan serta pulangan kewangan tanpa bergantung kepada syarikat produksi luar seperti kebanyakan bekas pemain lain.

Diasaskan pada Ogos 2024, sembilan bulan sebelum beliau meninggalkan TNT Sports selepas 12 tahun sebagai pengulas, audio siar itu kini tersenarai dalam 50 teratas di Britain dan menampilkan temu bual bersama bintang besar seperti Bruno Fernandes, Casemiro dan Paul Pogba.

Ferdinand yang dibesarkan di Peckham turut secara tidak langsung mempromosikan kelebihan bebas cukai di Dubai, namun berkata sistem percukaian di Britain yang menurutnya tidak memberi pulangan setimpal adalah satu persoalan besar yang perlu dijawab. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *