SumiSaujana catat hasil RM42.2 juta suku pertama

KUALA LUMPUR – SumiSaujana Group Berhad (SumiSaujana) pengeluar bahan kimia khusus minyak dan gas, merekodkan hasil sebanyak RM42.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, naik 100.7 peratus berbanding RM37.8 juta.

Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) mengukuh kepada RM3.6 juta berbanding RM3.4 juta sebelumnya, mencerminkan daya tahan operasi yang berterusan dan inisiatif pengurusan kos yang berdisiplin.

Pada suku yang sama, pertumbuhan pendapatan Kumpulan didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih kukuh dari Malaysia dan kawasan geografi lain.

Malaysia menyumbang RM9.4 juta pada suku tersebut, jauh lebih tinggi daripada RM3.1 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Thailand kekal sebagai penyumbang geografi terbesar Kumpulan dengan pendapatan sebanyak RM13.5 juta, diikuti oleh Indonesia pada RM4.7 juta. Manakala Amerika Syarikat dan Oman masing-masing menyumbang RM4.0 juta dan RM2.5 juta.

Keuntungan kasar bagi suku tersebut berjumlah RM11.1 juta, diterjemahkan kepada margin keuntungan kasar sebanyak 26.3 peratus berbanding 30.4 peratus sebelumnya.

Penyederhanaan margin terutamanya disebabkan oleh keadaan harga yang kompetitif dan peningkatan kos bahan mentah dan operasi merentas rantaian bekalan.

Bagaimanapun, margin PBT Kumpulan agak stabil pada 8.5 peratus, disokong oleh usaha yang berterusan dan pengoptimuman operasi yang dilaksanakan di seluruh perniagaan.

Berdasarkan suku tahunan, pendapatan menurun daripada RM65.4 juta yang dicatatkan pada Suku Keempat Tahun Kewangan 2025, terutamanya disebabkan oleh penyiapan kontrak utama di Malaysia pada suku sebelumnya yang menyumbang kira-kira RM28.3 juta dalam pendapatan.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlan Norbi berkata, suku pertama TK2026 mencerminkan daya tahan operasi teras syarikat meskipun terdapat tekanan kos yang berterusan dan persekitaran operasi yang lebih kompetitif.

“Walaupun suku sebelumnya mendapat manfaat daripada sumbangan kontrak yang besar, asas perniagaan kami kekal stabil, disokong oleh permintaan serantau yang berulang dan peningkatan penembusan pasaran antarabangsa.

“Kami terus mengutamakan pengurusan kos yang berhemat, kecekapan operasi dan penglibatan pelanggan jangka panjang untuk memperkukuh kemampanan pendapatan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga 31 Mac 2026, Kumpulan telah menggunakan RM67.5 juta daripada hasil IPO RM74.4 juta, terutamanya untuk pengambilalihan gudang dan pejabat korporat Puncak Alam yang baharu, pengambilalihan kilang sedia ada, perbelanjaan modal dan pengembangan bahagian penyelidikan dan pembangunannya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *