Guru Didakwa Cabul Murid 12 Tahun Ditahan, Kes Tular Cetus Kemarahan Orang Ramai

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes cabul seorang murid perempuan di Seri Alam, Pasir Gudang, ditahan polis selepas kes berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Penahanan suspek dibuat kurang 24 jam selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya mula mengesan satu hantaran tular di Facebook yang dimuat naik oleh pengguna dikenali sebagai Mohd Fadli Salleh mengenai dakwaan kejadian itu.

Susulan penyebaran maklumat berkenaan, ibu mangsa yang berusia 37 tahun tampil membuat laporan polis kira-kira jam 9 malam pada hari sama.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan, kejadian cabul dipercayai berlaku di kawasan Seri Alam pada tahun 2025 dan melibatkan anak perempuannya yang masih bersekolah.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam menjalankan operasi mengesan suspek sebelum berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun kira-kira jam 10.30 malam bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga menunjukkan ia bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana kesalahan menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak bagi tujuan seksual.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, media sosial kecoh apabila tular satu dakwaan melibatkan seorang lelaki yang dipercayai seorang guru di sebuah sekolah rendah di Pasir Gudang, yang didakwa menjalinkan hubungan tidak senonoh dengan seorang murid perempuan berusia 12 tahun.

Menurut pendedahan dibuat ibu mangsa di Facebook, kejadian dipercayai berlaku sejak September tahun lalu.

Wanita itu mendakwa laporan polis pernah dibuat sebelum ini, namun kemudiannya ditarik balik selepas suspek didakwa berjanji untuk mengahwini anaknya apabila mangsa mencapai usia 18 tahun.

Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendesak tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Rata-rata pengguna media sosial turut menggesa agar siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada mangsa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *