KUALA LUMPUR — Arena politik negara dikejutkan dengan pengumuman rasmi bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengesahkan beliau keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas hampir 28 tahun bersama parti itu.
Dalam kenyataan panjang bertarikh 19 Mei 2026, Rafizi berkata, beliau telah menghantar borang keluar parti melalui aplikasi ADIL yang menguruskan keahlian PKR, sejurus selepas menerima pengesahan surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen telah diterima Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Menurut beliau, segala proses dilakukan secara teratur mengikut prinsip demokrasi dan lunas undang-undang.
“Saya kosongkan kerusi untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat,” katanya.
Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan perjalanan politik beliau bersama PKR, parti yang dibinanya sejak era Reformasi sehingga berjaya menjadi kerajaan Persekutuan.
Dalam kenyataan itu, Rafizi turut menjelaskan beberapa persoalan berkaitan implikasi perundangan selepas peletakan jawatannya, termasuk isu sama ada beliau boleh bertanding semula dalam pilihan raya.
Menurutnya, pindaan Perlembagaan pada tahun 2022 berkaitan Akta Anti Lompat Parti membolehkan seorang ahli parlimen yang mengosongkan kerusi bertanding semula tanpa dikenakan larangan lima tahun seperti sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan, kekosongan kerusi Parlimen tidak semestinya membawa kepada pilihan raya kecil kerana Perlembagaan memperuntukkan PRK tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas tempoh tiga tahun, kecuali ia menjejaskan majoriti kerajaan.
“Sepatutnya tidak ada PRK, tetapi kita tunggu keputusan rasmi Speaker Dewan Rakyat,” katanya.
Rafizi juga menafikan dakwaan beliau telah menyertai parti baharu lebih awal sebelum meletakkan jawatan daripada PKR dan Parlimen.
Beliau secara terbuka menyindir Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang didakwanya “sibuk gebang” kononnya mempunyai bukti tangkap layar yang beliau telah menyertai parti BERSAMA lebih awal.
“Cubalah dia bawak bukti screen shot dia ke mahkamah. Mesti kena gelak dengan satu Malaysia,” katanya dalam nada sinis.
Menurut beliau, bukti keahlian sesebuah parti hanya boleh disahkan melalui rekod rasmi parti berkenaan dan rekod parti BERSAMA menunjukkan beliau hanya menyertainya selepas meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen serta anggota PKR.
Beliau turut menegaskan, tindakan keluar parti itu tidak tertakluk kepada bon RM10 juta yang dikenakan PKR terhadap Ahli Parlimennya kerana perjanjian tersebut secara jelas menyatakan bon tidak terpakai sekiranya kerusi dikosongkan terlebih dahulu sebelum keluar parti.
Dalam nada lebih peribadi dan reflektif, Rafizi mengakui beliau kini kembali menjadi “rakyat biasa” tanpa jawatan dan pangkat, malah menyifatkan dirinya sebagai “penganggur sekali lagi”.
Namun, beliau menegaskan keputusan itu dibuat dengan hati yang tenang dan gembira.
“Saya kini kembali seperti rakyat Malaysia yang lain — tiada pangkat, tiada jawatan dan bermula dari bawah semula,” katanya.
Rafizi turut mengimbau perjalanan politiknya selama hampir tiga dekad bersama PKR dan mengakui pernah melalui banyak fasa yang memaksanya memendam rasa tidak bersetuju terhadap beberapa keputusan parti.
Katanya, ketika berada di peringkat bawahan dahulu, beliau hanya mampu tidak bersetuju dalam hati kerana keputusan akhir ditentukan pimpinan tertinggi. Namun apabila berada di kedudukan nombor dua parti, beliau merasakan tanggungjawab moral untuk bersuara.
“Saya telah bersuara kerana the buck stops at me,” katanya.
Menurut Rafizi, keputusan meninggalkan PKR dan menyertai parti baharu bukan dibuat kerana kecewa terhadap jawatan atau kedudukan, tetapi kerana percaya perjuangan politik mesti membawa kebaikan kepada rakyat dan mengurangkan kerosakan kepada masyarakat.
Beliau menyifatkan penghijrahannya ke parti BERSAMA sebagai satu keperluan dalam usaha meneruskan perjuangan politik berdasarkan prinsip yang diyakininya.
“BERSAMA masih kecil, masih kain putih dan boleh dibentuk,” katanya.
Walaupun meninggalkan PKR, Rafizi menegaskan beliau tidak pernah menyesal menghabiskan 28 tahun membina parti itu sehingga berjaya menjadi kerajaan Persekutuan.
“Saya tidak pernah buat semua itu untuk mendapat pujian, balasan atau pangkat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengajak penyokong yang sehaluan dengannya supaya menyertai parti BERSAMA dan menumpukan usaha memperkenalkan “12 Agenda Kancil” yang menjadi asas perjuangan parti baharu tersebut.
Beliau juga menyeru ahli dan penyokong PKR yang masih kekal bersama parti supaya terus berani menyatakan kebenaran kepada pimpinan.
“Pesan saya hanya satu; berkata benarlah kepada pimpinan walaupun itu perkara yang paling susah kita nak buat,” katanya.
Rafizi turut mengakhiri kenyataannya dengan doa agar rakyat Malaysia diberikan kematangan dan kewarasan dalam menentukan masa depan negara demi generasi muda akan datang.
Pengunduran Rafizi daripada PKR dijangka memberi kesan besar terhadap landskap politik semasa, khususnya kepada dinamika dalaman PKR dan Pakatan Harapan menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L