EPB Group sasar pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Penyedia penyelesaian jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan, EPB Group Bhd., sedang mengatur langkah strategik untuk mengembangkan perniagaan dengan memohon pemindahan status penyenaraian serta disokong oleh rekod buku pesanan bernilai RM107.80 juta.

Syarikat berkenaan telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 12 Mac 2026 bagi merealisasikan cadangan pemindahan penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pemindahan yang dicadangkan itu, berserta dengan pindaan kepada perlembagaannya, mencerminkan komitmen syarikat terhadap piawaian tadbir urus yang lebih tinggi, penyediaan akses pelabur lebih meluas dan peluasan keupayaan pengembangan perniagaan untuk jangka masa panjang.

Kumpulan merekodkan hasil berjumlah RM21.11 juta, dengan mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM6.73 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2026.

Selain itu, bagi tempoh yang sama, suku berkenaan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang berada pada paras RM0.67 juta serta keuntungan selepas cukai sebanyak RM0.50 juta.

Prestasi hasil pada suku berkenaan terjejas sementara oleh kitaran penghantaran jentera yang lebih rendah kerana pengiktirafan hasil perniagaan Kumpulan adalah amat bergantung kepada jadual penghantaran dan pencapaian status projek.

Pengarah Urusan EPB Group, Yeoh Chee Min menjelaskan, suku berkenaan merupakan tempoh yang diukur, namun menegaskan perniagaan asas kumpulan kekal utuh, disokong oleh pelanggan yang mantap, kehadiran serantau dan buku pesanan yang sihat.

“Kami terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang berdisiplin, kesediaan operasi dan pengembangan kapasiti untuk menyokong fasa pertumbuhan Kumpulan yang seterusnya,” katanya.

Ketahanan perniagaan ini jelas beliau, dibuktikan dan disokong oleh nilai buku pesanan yang sihat iaitu sebanyak RM107.80 juta setakat 30 April 2026.

Daripada jumlah pesanan berkenaan, sejumlah RM99.08 juta dijangka akan dipenuhi dan dibilkan pada tahun kewangan 2026, manakala baki RM8.72 juta dijadualkan untuk tahun kewangan 2027.

Segmen penyelesaian jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan terus memacu pendapatan sebagai penyumbang terbesar kumpulan dengan mencatatkan hasil RM11.49 juta.

Ia kemudiannya diikuti oleh segmen perdagangan selongsong selulosa sebanyak RM5.12 juta serta segmen bahan pembungkusan fleksibel bernilai RM4.50 juta.

Dari aspek penembusan pasaran geografi, keupayaan syarikat berkenaan terbukti utuh apabila pelanggan dari luar negara, terutamanya dari pasaran Indonesia, terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar dengan nilai sumbangan sebanyak RM11.19 juta pada suku berkenaan.

Bagi matlamat persediaan memenuhi keperluan pelanggannya yang berskala lebih besar pada masa hadapan, Kumpulan kini giat membangunkan kemudahan pembuatan baharu berkeluasan 90,000 kaki persegi di Penang Science North Park, di mana fasa pertamanya disasarkan siap menjelang bulan Disember 2026.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *