Guru Bukan Sekadar Mengajar, Tetapi Membina Generasi Pewaris Negara – Marzuki

PUTRAJAYA – Seluruh warga pendidik negara disaran terus memperkukuh komitmen dalam mendidik generasi masa depan walaupun berdepan cabaran dunia pendidikan yang semakin kompleks ketika ini.

Mantan Timbalan Menteri Luar, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, guru memainkan peranan amat besar bukan sahaja sebagai penyampai ilmu pengetahuan, malah sebagai pembimbing, pembentuk akhlak dan pencetus masa depan negara.

Menurut beliau, jasa dan pengorbanan guru sentiasa menjadi tunjang kepada kejayaan pelbagai golongan profesional termasuk doktor, jurutera, saintis, usahawan dan pemimpin negara.

“Di sebalik kejayaan seseorang, pasti ada seorang guru yang pernah mendidik dan membimbing mereka dengan penuh sabar dan keikhlasan. Sesungguhnya jasa guru amat besar dan tidak ternilai,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Guru 2026, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu berkata, perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), perubahan sosial dan kehendak pasaran kerja masa depan kini menuntut warga pendidik supaya sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Bagaimanapun, Marzuki yakin guru di negara ini sentiasa bersedia memikul amanah besar bagi memastikan anak-anak Malaysia terus menerima pendidikan terbaik.

Katanya, tanggungjawab guru juga tidak terhad kepada silibus pembelajaran semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

“Lebih membanggakan, para guru hari ini terus menunjukkan komitmen tinggi dalam mengadaptasi kaedah pembelajaran baharu termasuk penggunaan teknologi digital, pembelajaran interaktif serta pendekatan pendidikan yang lebih kreatif dan inklusif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh masyarakat agar terus menghormati dan memartabatkan profesion perguruan demi melahirkan generasi yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

Menurutnya, hubungan erat antara guru, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan amat penting dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan guru, pembangunan profesionalisme pendidikan serta usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran perlu terus diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Sempena Hari Guru 2026, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik di bandar dan luar bandar yang terus berbakti memastikan tiada anak bangsa tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.

“Terima kasih cikgu. Jasamu mendidik anak bangsa akan terus dikenang dan dihargai,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *