PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan berhubung peluasan laluan kemasukan pelajar daripada luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menjejaskan dasar pendidikan negara sedia ada, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau menegaskan, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal menjadi syarat asas utama kemasukan ke IPTA, manakala perubahan yang dibuat hanya bertujuan membuka lebih banyak akses kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang pendidikan.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah mengiktiraf sistem pendidikan lain sebagai pengganti kepada kurikulum kebangsaan, sebaliknya setiap pelajar tetap perlu memenuhi keperluan sistem pendidikan negara.
“Semalam apabila kerajaan membuat keputusan untuk membuka ruang, bukan memberikan pengiktirafan kepada sistem lain. Kita tidak akan berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain.
“Sama ada anda daripada aliran mana sekali pun, sekolah antarabangsa, SMPC (Sekolah Menengah Persendirian Cina), sekolah agama atau mana-mana institusi yang tidak mengikut kurikulum kebangsaan, anda tetap perlu ikut sistem kita,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di sini.
Zambry berkata, keputusan kerajaan itu telah menimbulkan pelbagai tafsiran sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat mengenai hala tuju sistem pendidikan negara.
“Perbahasan timbul apabila kita melakukan ini, seolah kita mengorbankan sistem pendidikan negara. Ini antara persepsi yang berlaku,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan beberapa ketetapan baharu berkaitan laluan kemasukan ke IPTA bagi pelajar daripada aliran sekolah tahfiz, sekolah swasta serta SMPC.
Namun, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi, isu tersebut telah diputar belit oleh sesetengah pihak termasuk parti politik yang mendakwa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L