SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini, mengarahkan dua defendan dalam saman pemula yang difailkan Mubarak Thahak bersama lima individu lain supaya mengemukakan afidavit bagi menyokong bantahan terhadap bidang kuasa mahkamah dalam tempoh tujuh hari.
Arahan tersebut dikeluarkan Hakim Roz Mawar Rozain selepas mendengar bantahan awal dikemukakan defendan pertama, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Seremban.
Peguam yang mewakili kedua-dua defendan, Steven Thiru berhujah bahawa saman pemula berkenaan tidak berada di bawah bidang kuasa mahkamah berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
Menurut beliau, peruntukan tersebut secara jelas menyatakan segala nasihat dan keputusan Dewan Keadilan dan Undang berkaitan adat istiadat Melayu, termasuk soal pemilihan, pewarisan, pelucutan atau pengosongan jawatan Undang Yang Empat adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
“Nasihat Dewan atas perkara berkaitan adat istiadat Melayu termasuk isu pemilihan atau pelucutan jawatan Undang Yang Empat adalah muktamad serta tidak boleh dipertikaikan di mahkamah atas apa jua alasan,” katanya ketika berhujah di hadapan mahkamah.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh pendengaran lanjut kes berkenaan.
Dalam prosiding sama, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Ala’uddin Baharom yang mewakili defendan ketiga iaitu Kerajaan Negeri Sembilan turut membantah permohonan plaintif untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang.
Beliau berhujah, kerajaan negeri bukan ahli kepada Dewan Keadilan dan Undang, justeru urusan penyediaan, penyimpanan dan pengeluaran minit mesyuarat bukan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Segala persiapan, penyediaan dan penyimpanan minit mesyuarat bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.
“Saya percaya isu bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana minit mesyuarat dan keputusan mesyuarat adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pihak defendan membantah permohonan penggantungan interim yang difailkan plaintif dan memohon agar isu tersebut didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Bagaimanapun, Hakim Roz Mawar memutuskan mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan interim pada peringkat semasa kerana mendapati bahan dan maklumat yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara bagi meluluskan permohonan tersebut.
“Pada ketika ini, mahkamah tidak akan membenarkan sebarang perintah penggantungan seperti yang dipohon,” katanya.
Sementara itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili keenam-enam plaintif berkata, mahkamah berpendapat afidavit yang dikemukakan setakat ini belum mencukupi untuk menyokong permohonan penggantungan interim.
Menurut beliau, hakim bagaimanapun menjelaskan, pihak plaintif masih mempunyai ruang untuk memfailkan permohonan rasmi berkaitan perkara tersebut pada masa akan datang.
“Mahkamah menyatakan pihak plaintif tidak dihalang untuk mengemukakan permohonan rasmi berkaitan penggantungan dan kami akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.
Pada 5 Mei lalu, Mubarak bersama lima lagi plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang diadakan pada 17 April lalu.
Lima lagi plaintif terbabit ialah Maarof Mat Rashad, Muhammed Abdullah, Abdul Rahim Yasin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Badarudin Abdul Khalid.
Sebelum ini, Mubarak dilaporkan telah dilucutkan daripada kedudukannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong, sekali gus mencetuskan perhatian pelbagai pihak terhadap prosiding berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L