SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keperluan tindakan pantas dan penyelarasan berkesan antara agensi dalam memastikan isu pembangunan di daerah Petaling ditangani secara menyeluruh, khusus melibatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan projek segera serta usaha merangka penyelesaian terhadap pelbagai cabaran semasa di kawasan berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat itu bukan sahaja meneliti status pelaksanaan projek fizikal, malah turut membincangkan isu pengurusan bandar dan sosial yang semakin kompleks seiring dengan kepesatan pembangunan di kawasan Petaling.
“Antara perkara dibangkitkan termasuk pengurusan rumah ibadat, sistem pelupusan sisa lebih efisien serta isu penternakan babi yang memerlukan pendekatan lebih tersusun, inklusif dan berkesan agar tidak menimbulkan konflik dalam komuniti,” katanya.
Dalam aspek infrastruktur pula, beliau menekankan kepentingan penyelenggaraan jalan raya yang lebih konsisten serta mempercepatkan pelaksanaan projek mitigasi banjir, memandangkan kawasan Petaling sering berdepan risiko banjir kilat.
Menurut beliau, langkah intervensi jangka pendek perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek jangka panjang disiapkan sepenuhnya.
Mengulas mengenai isu kemiskinan, Anwar berkata, negeri Selangor kini telah mencapai status sifar miskin tegar, namun usaha pemantauan tidak boleh dihentikan bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.
“Walaupun kita mencapai sasaran sifar miskin tegar, tanggungjawab belum selesai. Setiap keluarga perlu terus dibantu agar mampu berdikari melalui latihan kemahiran dan peluang menjana pendapatan sendiri,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, pelaksanaan program Sejati MADANI di daerah Petaling menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup.
Katanya, pelbagai inisiatif berasaskan komuniti seperti perusahaan jahitan, pengeluaran madu kelulut serta pembuatan perabot telah membuka ruang kepada peserta untuk menjana pendapatan lebih stabil dan mampan.
“Malah, ada peserta berjaya memperoleh pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000 setahun, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan memperkasa ekonomi komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerjasama berterusan antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan setiap isu tertangguh dapat diselesaikan dengan berkesan.
Katanya, pendekatan menyeluruh menggabungkan perancangan jangka pendek dan panjang perlu diperkukuh agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun seperti Petaling.
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L