AirTrunk Perkasakan Hab Digital Malaysia Dengan Pelaburan RM27 Bilion

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, AirTrunk akan menambah pelaburan sehingga RM12 bilion tahun ini, menjadikan keseluruhan jumlah komitmen pelaburannya di Malaysia meningkat kepada RM27 bilion.

Perkara itu dimaklumkan selepas beliau menerima kunjungan hormat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda bersama delegasi syarikat berkenaan, semalam.

Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh perkembangan pembinaan pusat data AirTrunk di Johor serta rangka kerja penyetempatan bagi meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri pusat data.

“Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi.

“Keputusan ini mencerminkan keyakinan pelabur, khususnya syarikat teknologi global, terhadap kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik ketika kerajaan terus memperhalusi dasar serta meningkatkan kecekapan pembangunan dan operasi pusat data,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan dijangka memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem industri berteknologi tinggi.

Keputusan AirTrunk tersebut membolehkan kerajaan memperhalusi dasar dan kecekapan operasi pusat data negara, sekali gus mempercepatkan langkah Malaysia menjadi hab IT global.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *