USIM Pacu Dakwah Inklusif Orang Kurang Upaya

Oleh NurFarhana Zulkeply

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) 2026 sebagai usaha memperluas pendekatan dakwah inklusif kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Program kendalian Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) itu berlangsung setiap Rabu bermula 29 April hingga 8 Julai, melibatkan 180 peserta daripada mahasiswa, kakitangan universiti dan komuniti awam.

KDTS 2026 menampilkan dua tenaga pengajar utama dalam kalangan OKU pendengaran, iaitu Cikgu Nordin Hassan dan Cikgu Ku Habsah Ku Sulong, dengan sokongan enam tenaga pengajar lain berpengalaman dalam dakwah OKU.

Antara pengisian program termasuk latihan komunikasi visual dan penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian dakwah kepada komuniti sasaran.

Presiden SaF@USIM, Khairul Amri Mustapakama berkata program itu bertujuan menarik minat mahasiswa mendekati dakwah kepada komuniti OKU serta memahami keperluan komunikasi mereka.

“Program ini turut memperkenalkan kaedah penyampaian mesej Islam seperti Kod Tangan Quran dan i-SIGN bagi memudahkan pemahaman,” katanya.

Sementara itu, Penasihat SaF@USIM, Dr. Nur Atiqah Abdul Aziz berkata program berkenaan berperanan merapatkan jurang komunikasi antara mahasiswa dan komuniti OKU pendengaran.

Katanya, pendekatan praktikal yang digunakan membantu peserta memahami konteks dakwah secara lebih berkesan.

Program itu juga menjadi platform integrasi sosial serta memupuk nilai kesukarelawanan dalam kalangan peserta.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *