KUANTAN – Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan keselamatan dan kestabilan Selat Melaka kekal terpelihara, sambil menolak sebarang campur tangan unilateral oleh kuasa besar dalam laluan perdagangan strategik itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mengawasi keselamatan perairan berkenaan yang menjadi antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia.
Menurut beliau, pendirian Malaysia adalah berteraskan prinsip kepentingan nasional serta kepusatan serantau, dengan mengambil kira implikasi ketegangan geopolitik global terhadap ekonomi dan keselamatan negara.
“Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan secara unilateral di kawasan ini kerana ia melibatkan kepentingan strategik negara dan perdagangan antarabangsa,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkembangan konflik di Asia Barat, khususnya di Selat Hormuz memberi peringatan jelas mengenai kepentingan laluan maritim global, dengan kira-kira 20 peratus bekalan tenaga dunia melalui selat itu, manakala sebahagian besar perdagangan lain bergantung kepada Selat Melaka.
Sehubungan itu, Malaysia kekal komited untuk memastikan laluan tersebut berada dalam keadaan aman, stabil dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Jelajah Wira MADANI anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan terus memperkukuh keupayaan keselamatan maritim negara melalui pelaburan strategik dalam aset dan teknologi.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan dua kapal misi pelbagai guna (MPMS) di Turkiye, masing-masing bernilai RM400 juta, selain perolehan empat helikopter jenis AgustaWestland AW189 dengan anggaran kos RM700 juta.
Turut dirancang ialah pembangunan satu Tapak Sensor Jarak Jauh (RSS) bernilai RM88 juta bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan respons keselamatan di perairan negara.
Secara keseluruhan, nilai pelaburan yang melebihi RM1 bilion itu dijangka memperkukuh kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Kerajaan yakin langkah berkenaan akan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara, di samping menjamin keselamatan perairan serta kesejahteraan rakyat.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L