Azizulhasni Berpotensi Teruskan Cabaran ke Olimpik LA 2028 – Datuk Amarjit Singh

KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Amarjit Singh Gill merasakan nalurinya bahawa jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang akan terus menggalas cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Azizulhasni, yang digelar “The Pocket Rocketman”, mencetuskan sensasi apabila meraih emas acara keirin lelaki selepas menewaskan Harrie Lavreysen pada final Sabtu lalu, sebelum menambah gangsa dalam acara pecut individu.

Amarjit Singh berkata, prestasi semasa pelumba berusia 38 tahun itu membuktikan beliau masih berupaya bersaing di peringkat tertinggi dan belum berada di penghujung karier.

“Apa yang saya lihat membuktikan beliau belum berakhir lagi. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak beliau, tetapi naluri saya mengatakan beliau masih mahu ke LA 2028,” katanya dipetik Berita Harian.

Tambah beliau, tiada penafian peluang bagi pelumba berpengalaman tersebut meneruskan perjuangan di Olimpik jika memiliki kekuatan fizikal dan kelajuan mantap.

Dalam masa sama, Amarjit mengakui skuad berbasikal trek negara masih bergantung kepada beberapa atlet utama termasuk Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Realitinya, kita masih bergantung kepada beberapa atlet elit. Kita sedang cuba meluaskan kelompok itu, tetapi Azizul masih dilihat sebagai watak penting dalam pasukan,” katanya.

Beliau turut berharap Azizulhasni dapat memberi fokus kepada beberapa kejohanan utama seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia sebagai persediaan ke Olimpik.

Mengulas status Azizulhasni sebagai pelumba bebas, Amarjit menegaskan atlet yang membawa cabaran negara di Olimpik wajar menerima sokongan penuh tanpa mengira sama ada berada dalam program kebangsaan atau tidak.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *