UPSI, ATU jalin kolaborasi perkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan

Oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kolaborasi strategik bersama Akademi Tentera Udara (ATU), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam usaha memperkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan merangkumi aspek pendidikan, latihan pedagogi dan kebolehpasaran anggota.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihak universiti menyambut baik inisiatif tersebut dan bersedia menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan etnik dan latihan profesional.

“UPSI merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan kursus Bahasa Etnik di Malaysia, termasuk Bahasa Semai serta mempunyai pakar dan pensyarah daripada komuniti Orang Asli sendiri.

“Justeru, sekiranya TUDM ingin merekrut belia Orang Asli dalam bidang teknikal atau kejuruteraan, UPSI boleh membantu dari segi latihan asas atau penyediaan kursus khas yang bersesuaian,” katanya ketika menerima kunjungan pengurusan ATU di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, semalam.

Beliau berkata, kerjasama itu turut membuka ruang pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) bagi memberi peluang kepada anggota TUDM menukar pengalaman kerja kepada kelayakan akademik.

“Anggota yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun boleh menukarkan pengalaman tersebut kepada kredit akademik untuk memperoleh Diploma atau Ijazah.

Kata Dr. Md. Amin, UPSI juga mencadangkan pelaksanaan latihan keusahawanan digital bagi membantu anggota tentera membuat persediaan awal menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan memperkukuh jati diri generasi muda melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran pertahanan negara.

“Kita fokus kepada tiga perkara utama iaitu pengambilan dan pendidikan Orang Asli, program APEL serta persediaan persaraan anggota, dan latihan pedagogi serta teknologi untuk instruktur TUDM.

“Kita perlu membina semula jiwa generasi muda dengan semangat pertahanan menyeluruh demi masa depan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Komandan ATU, TUDM, Kolonel Nurul Amir Othman berkata, kunjungan tersebut merupakan langkah awal ke arah membina kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh antara ATU dan UPSI.

Beliau berkata, antara fokus utama ATU adalah meningkatkan penyertaan belia Orang Asli dalam TUDM, khususnya dalam bidang teknikal seperti teknisyen pesawat, pembantu juruteknik dan krew udara.

“Kami melihat program ini sebagai satu peluang besar, namun penyertaan masih rendah ketika ini dan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju memperluas kerjasama dalam aspek sukan, latihan kepimpinan serta penglibatan dalam program universiti seperti konvokesyen dan hari kokurikulum yang berpotensi menjadi platform pendedahan serta rekrutmen kepada pelajar.

“Kolaborasi ini dilihat mampu memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan dan ketenteraan dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan negara.” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *