Olahan NurFarhana Zulkeply
JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor meningkatkan langkah penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan petrol bersubsidi RON95, khususnya di stesen minyak yang terletak berhampiran kawasan sempadan.
Usaha tersebut melibatkan pelaksanaan operasi penyamaran serta pemantauan statik di 31 stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk di kawasan bandar dan sekitar Iskandar Puteri.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata pemantauan akan dijalankan secara berterusan bagi mengesan sebarang kegiatan mencurigakan.
“Anggota akan ditempatkan secara statik selain menjalankan operasi penyamaran, terutamanya di lokasi berisiko tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp, portal e-aduan, aplikasi Ez ADU dan talian pusat panggilan KPDN.
Kes di Sabah dan Perak
Di Kota Kinabalu, KPDN Beaufort mendedahkan satu modus operandi penyelewengan diesel yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai dengan tangki tambahan berkapasiti sekitar 200 liter.
Kenderaan berkenaan dikesan ketika mengisi minyak sebelum diserbu dalam Ops Tiris 4.0. Susulan itu, kenderaan, diesel serta dokumen berkaitan telah dirampas untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu di Gerik, KPDN merampas 94 tong gas petroleum cecair (LPG) serta 270 liter petrol dalam satu operasi di perkampungan Orang Asli.
Pengarah KPDN Perak, Kamalludin Ismail berkata tindakan itu diambil susulan aduan awam berkaitan aktiviti urus niaga barangan kawalan tanpa lesen sah.
Hasil pemeriksaan mendapati dua premis menjalankan perdagangan LPG dan petrol secara tidak sah, manakala dua individu gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang diperlukan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L